UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merancang untuk membantu Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) meneroka lokasi-lokasi menarik di kawasan sungai daerah Perak Tengah sebagai pusat penyelidikan dan aktiviti rekreasi.

Menurut Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya sedang mengkaji prosedur yang berkesan sambil meneliti lokasi-lokasi bersesuaian yang dilihat berpotensi untuk  dijadikan pusat pembangunan penyelidikan alam sekitar, selain memperkasa aktiviti rekreasi sukan air dengan melibatkan sektor pembangunan ekonomi setempat melestarikan pelancongan di negeri itu.

“Sebagai pusat pengajian peneraju pendidikan nasional, UPSI amat optimis menyalurkan khidmat kepakaran sedia ada di fakulti-fakulti untuk diserapkan kepada masyarakat melalui pelaksanaan pembangunan penduduk setempat sebagai salah satu fungsi memasyarakatkan universiti di peringkat kebangsaan,” jelasnya ketika mengadakan lawatan kerja bersama MDPT di Hotel Impiana, Ipoh, hari ini.

Laluan sempadan sungai daerah Perak tengah meliputi kepanjangan hampir 200 kilometer ini mempunyai lebih 170 jenis spesis marin masih menjadi sumber makanan dan ekonomi penduduk di persisiran sungai selain pernah menjadi laluan perantara utama semasa sejarah ketamadunan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

“Terdapat tiga inisiatif pelaksanaan pihak universiti usulkan merangkumi pelan pembangunan pesisiran sungai,  pelaksanaan pengurusan acara dan pengurusan aset untuk perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi. Antara lokasi yang menjadi perhatian ialah di pesisir Pulau Semarak sekitar litar Dato’ Sagor, Dataran Nordin berhampiran Cempaka Sari dan Pulau Misa Melayu melibatkan tiga kawasan iaitu Tanjung Belanja, Bota dan Kampung Gajah,” jelasnya lagi.

“Sungai Perak merupakan nadi kepada identiti rakyat Perak yang kaya dengan hasil budaya, ketamadunan dan sejarah, wajarlah pihak pengajian seperti UPSI sendiri turun padang berganding bahu dengan pihak berkuasa tempatan seperti MDPT melalui pendekatan yang bersesuaian,” jelas beliau lagi. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram