Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli menghadapi pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

AHLI Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas.

Rozman, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelaki tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Ahli Parlimen Warisan Labuan, Datuk Rozman Isli ketika ditemui media selepas dihadapkan pertuduhan salah guna kuasa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan, Rozman yang memakai sut biru gelap berkata: “Saya sama sekali tidak bersalah dan minta dibicarakan”.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali telah bersetuju jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin diberikan kepada Rozman.

Ahmad Akram turut memohon supaya pasport Rozman diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Muhammad Rafique, yang mewakili Rozman mengesahkan jumlah jaminan yang telah dipersetujui.

Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram