SUATU pagi sekitar Mac 1995, beberapa keluarga petani di Puerto Rico terkejut apabila mendapati lapan ekor kambing biri-biri ditemui mati dalam keadaan yang sungguh aneh.

Kambing itu tidak dimakan tetapi darah dalam badan ternakan habis seakan dihisap sehingga kering.

Para penyiasat menemui tiga kesan gigitan misteri pada setiap badan bebiri yang mati itu. Namun, pihak berkuasa di Puerto Rico menyatakan kepada pihak media bahawa insiden ini mungkin serangan binatang buas seperti musang.

Empat bulan kemudian, petani Puerto Rico dikejutkan sekali lagi apabila serangan misteri berlaku terhadap ternakan mereka. Kali ini melibatkan sebanyak 150 ekor kambing bebiri di Canovanas. Kesemua ternakan mati dengan cara yang sama seperti kejadian empat bulan sebelumnya, darah dihisap sehingga kering.

Penduduk bingung. Apakah kejadian mengerikan ini berpunca dari serangan binatang buas ataupun serangan drakula?

Disebabkan binatang terlibat kebanyakannya kambing, penduduk menggelar makhluk misteri tersebut sebagai ‘el chupacabras’ – penghisap kambing. Ada pelbagai gambaran tentang ciri-ciri haiwan legenda haiwan penghisap darah ini.

Antara gambaran Chupacabra.

Pada November 1995, lebih 30 penduduk telah menyaksikan kelibat makhluk misteri ini di Canovanas.

Chupacabra dilihat tiba-tiba muncul dari angkasa lalu hinggap di atas pokok sebelum makhluk misteri itu menyerang dan membunuh berpuluh haiwan ternakan penduduk.

Di Caguas, penduduk mendakwa melihat makhluk misteri berwarna kelabu setinggi antara semeter sehingga dua meter, berbulu menyerupai monyet tetapi tidak berekor.

Makhluk misteri itu memiliki sepasang mata merah, lidah terjelir seperti ular, bertaring dan di belakangnya seolah-olah memiliki sepasang sayap seperti kelawar.

Anehnya makhluk misteri itu mampu melompat seperti kanggaru dan boleh memecah masuk ke dalam rumah penduduk melalui tingkap dan kemudiannya menghilangkan diri. Makhluk aneh tersebut meninggalkan cecair berlendir yang melekit pada tingkap dan lantai.

Sejak itu, serangan demi serangan makhluk misteri ini dilaporkan berlaku di ladang-ladang ternakan di Amerika Syarikat, Mexico dan Australia.

Chupacabra.

Dalam masa tiga tahun, beratus-ratus serangan haiwan ternakan dilaporkan. Sekitar Julai 2004 misalnya, seekor binatang yang tidak diketahui spesiesnya mengenai jerat seorang peladang, Reggie Lagow.

Tubuhnya seakan anjing, sebesar saiz kanggaru dan tidak berbulu. Pada malam sebelumnya, ayam turki ternakan milik lelaki ini kebanyakannya mati digigit dan darah ternakan dihisap sehingga kering.

Setelah ujian DNA dilakukan di University of California, mereka tidak dapat mengenal pasti jenis haiwan yang menyerang ternakan ladang di sekitar Texas ini.

Sungguhpun begitu, haiwan ini mempunyai genetik sama dengan genetik anjing gurun atau koyote (coyote), tetapi saiznya lebih besar, walaupun memiliki ciri-ciri hampir sama seperti tikus dan kanggaru.

Pasukan penyelidik hanya membuat satu rumusan bahawa bangkai haiwan ini ialah Elmendorf Beast, sempena mengambil nama tempat haiwan ini dibunuh.

Adakah Elmendorf Beast ini ialah Chupacabra? Tiada bukti sahih untuk persoalan itu.

Model Chupacabra yang sering dipamerkan.

Pada April 2006, MosNews melaporkan bahawa Chupacabra dikesan buat pertama kalinya di kawasan tengah negara Rusia.

Sebanyak 32 ekor ayam turki dibunuh dan darah dihisap oleh sejenis makhluk yang tak diketahui. Keesokan harinya, 30 ekor kambing biri-biri di daerah bersebelahan tempat kejadian berlaku perkara yang sama. Kesemuanya mati akibat darah dihisap sehingga kering.

Pada Disember 2006, seorang petani di Peru turut mendakwa Chupacabra menyerang seekor babi hutan di ladangnya. Lelaki itu yang merujuk makhluk itu sebagai ‘Zahir’ membuat laporan pada pihak berkuasa tempatan sambil menyatakan kelibat makhluk bermata merah itu amat mengerikan.

Makhluk bermata merah itu menyerang babi hutan yang berada dalam ladang ternakannya dan membunuhnya dalam tempoh kurang seminit.

Selain di Peru, Chupacabra juga dikatakan muncul di Boyaca, Columbia sekitar bulan Mei 2007. Media Colombia melaporkan lebih 300 ekor kambing biri-biri mati dibunuh dan darah habis kering akibat dihisap.

Beberapa negara lain turut melaporkan tentang kemunculan Chupacabra. Antaranya Argentina, Chile, Brazil, Hounduras, Panama, Nicaragua, Mexico, Bolivia, Republik Dominican dan juga Amerika Syarikat.

Misteri tentang makhluk aneh ini masih menjadi tanda tanya. Setiap pelosok negara mempunyai versi cerita yang tersendiri. Apa yang pasti, caranya menyerang sama – menghisap darah pada tubuh haiwan ternakan.

Terdapat juga teori kononnya Chupacabra ini wujud daripada bahan uji kaji genetik yang dilakukan oleh pihak tertentu sebagai senjata prototaip ketenteraan.

Tidak kurang juga teori yang mengaitkan haiwan ini dengan UFO. Kata mereka, Chupacabra adalah ‘anjing’ makhluk asing.

Ada teori mengatakan Chupacabra adalah haiwan kepunyaan makhluk asing.

Banyak kajian secara saintifik dilakukan untuk mengkaji tentang Chupacabra. Barry O’Conner, seorang pakar biologis dari University of Michigan pernah menyatakan pada tahun 2010 bahawa Chupacabra sebenarnya ialah spesies koyote yang mengalami keganjian fizikal akibat penyakit mange.

Penyakit itu menyebabkan bulu haiwan itu gugur dan kulitnya menebal dan bercapik-capik. Gigitan pada haiwan ternakan juga dikatakan gigitan anjing dan koyote yang mengalami penyakit tersebut.

Saintis percaya Chupacabra hanya mitos. Ia sebenarnya adalah koyote yang dijangkiti penyakit menyebabkan ia mempunyai kelainan fizikal dan dilihat sebagai makhluk aneh oleh penduduk yang melihatnya.

Ia menerkam haiwan ternakan namun tidak memakannya, sebaliknya haiwan ternakan tersebut mati kerana kehilangan banyak darah selepas digigit koyote.

Atas dasar ini saintis lebih percaya bahawa Chupacabra hanyalah sekadar mitos dan legenda. Pun begitu, bagi golongan masyarakat petani di Barat, mereka tetap percaya dengan kewujudan Chupacabra, legenda si penghisap darah ini.

___________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare