Antara paip injap berusia 27 tahun yang telah ditukar semasa kerja-kerja penyelenggaraan LRA SSP1. Foto Facebook Amirudin Shari

KERJA-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan aset kritikal Air Selangor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) telah selesai dan loji mula beroperasi malam tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, LRA SSP1 mula beroperasi pada pukul 8.15 malam atau 2 jam 45 minit lebih awal dari jadual asal.

“Bekalan air akan diagihkan secepat mungkin secara berperingkat bermula esok,” katanya menerusi hantaran Facebook malam tadi.

Amirudin meninjau LRA SSP1 yang menjalani kerja-kerja penyelenggaraan semalam. Foto Facebook Amirudin Shari

Kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal Air Selangor di LRA SSP1 bermula pada pukul 9 pagi semalam mengikut jadual seperti yang diumumkan pada 1 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, antara bahan-bahan yang diganti adalah injap, flow meter serta paip-paip utama di dalam LRA.

“Keadaan paip injap yang telah usang dan mula digunakan pada sekitar tahun 1994 atau sudah berusia 27 tahun harus diganti.

“Sebab utama kerja-kerja penyelenggaraan ini dilaksanakan demi keselesaan rakyat di masa depan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Air Selangor akan menggerakkan tangki-tangki air serta statik untuk mengagihkan air ke kawasan-kawasan perumahan seperti pangsapuri bertingkat tinggi.

Terdahulu, Air Selangor menerusi kenyataannya berkata, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna bermula pukul 5 petang esok setelah sistem bekalan air distabilkan.

Katanya, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

Tambahnya, bekalan air membabitkan 998 kawasan di sekitar Lembah Klang dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, 16 Oktober