PERNAH tak alami perkara menyeramkan semasa menaiki teksi di tengah malam? Ini kisah yang pernah saya alami suatu ketika dahulu.

Perkara ini berlaku lebih kurang 13 tahun lalu, tak silap saya sekitar tahun 2008 ketika saya tinggal di Gombak,Selangor.

Saya ingat lagi, malam itu malam Jumaat. Saya tiba di Hentian Puduraya kira-kira pukul 1.15 pagi selepas pulang bercuti dari kampung di Batu Pahat, Johor.

Saya terus mendapatkan teksi untuk pulang ke rumah. Seorang lelaki tua yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Din berusia 50-an adalah pemandu teksi yang saya naiki.

Dalam perjalanan menghantar saya pulang ke rumah yang terletak di Taman Koperasi Polis di Gombak, kami rancak berbual. Memang peramah Pak Din ni, ada saja cerita yang dikongsikannya. Saya pun seronok juga melayannya.

Ketika melalui Kampung Batu, Pak Din memperlahankan teksi apabila melihat seorang gadis berkebaya putih sedang melambai-lambai di hentian bas di hadapan sebuah sekolah agama.

Pak Din meminta izin saya untuk mengambil penumpang tersebut. Lagipun rumah saya juga sudah tidak berapa jauh lagi.

Saya mengangguk tanda setuju untuk Pak Din mengambil penumpang itu. Saya fikir sudah lewat malam begitu, susah hendak dapat teksi. Kasihan pula pada gadis itu.

Pak Din berhentikan teksinya dan gadis itu membuka pintu, terus naik dan duduk di sebelah saya.

Serentak itu tiba-tiba seluruh ruang udara dalam teksi bertukar menjadi sangat harum. Baunya seakan bau bunga-bungaan. Dada saya mula berdebar-debar, rasa lain macam sebaik tercium haruman itu.

“Saya nak ke kubur…” beritahu gadis tersebut pada Pak Din.

Ke kubur? Saya bertambah gelisah bila mendengar kata-kata gadis itu. Sudahlah terbit bau harum, sekarang nak ke kubur pula! Pukul 2.00 pagi nak ke kubur? Biar betul gadis ni!

Meremang seluruh bulu roma saya. Saya beranikan diri menoleh sedikit ke arah gadis itu dan melihat wajahnya dengan ekor mata sahaja.

Wajah gadis itu sungguh ayu dan lembut. Cantik. Kulitnya putih mulus. Gadis ini mengenakan baju kebaya rona putih seperti persalinan wanita hendak bernikah. Rambutnya panjang tersisir rapi di sebalik selendang putih.

Apabila menyedari saya memandangnya, gadis tersebut melemparkan senyuman. Saya tidak membalas kerana saya terlalu takut. Dengan kaki saya ikut menggigil.

Teksi Pak Din terus meluncur laju. Masing-masing terdiam seperti ada malaikat lalu. Jikalau tadi kami rancak berborak, tapi sekarang semua perbualan mati. Yang kedengaran hanya bunyi penghawa dingin teksi Pak Din saja.

Apabila menyedari kawasan kubur sudah semakin hampir, degupan jantung saya semakin kencang. Sesampainya di kawasan perkuburan Taman Koperasi Polis, Pak Din memberhentikan teksi.

Saya waktu itu hanya tunduk, tidak berani memandang ke luar. Memang masa tu saya terlalu takut. Hati saya berkata-kata bahawa gadis di sebelah saya itu bukan manusia!

“Dah sampai dik, RM3.50 saja,” beritahu Pak Din.

Gadis berkebaya putih itu menghulurkan sekeping duit RM10 kepada Pak Din. Ketika Pak Din sedang mengambil baki duit, gadis tadi terus keluar dari teksi.

Saya tidak sanggup memandang gadis itu. Seluruh tubuh sudah menggigil ketakutan. Setahu saya, kawasan kubur itu tiada kediaman. Penempatan terdekat terletak kira-kira 300 meter dari situ.

Saya tertanya-tanya mengapa gadis itu mahu berhenti di kawasan kubur? Ke mana sebenarnya dia mahu pergi?

Tak sempat Pak Din mahu menghulurkan duit baki, saya terus beritahu gadis tadi baru saja keluar dari teksi. Pak Din toleh memandang ke luar, mencari kelibat gadis tadi. Hairan, sekelip mata gadis berkebaya putih itu ghaib!

Tak tunggu lama, Pak Din segera menekan minyak dan memecut laju teksinya. Sampai di kawasan rumah, saya terus membayar tambang dan berlari masuk ke rumah. Malam itu saya tidur dalam ketakutan.

LEBIH kurang seminggu selepas peristiwa itu, saya ditemukan sekali lagi dengan Pak Din. Ketika itu saya sudah habis kerja syif malam dan ingin pulang ke rumah. Kebetulan teksi yang saya tahan dipandu oleh Pak Din.

Dalam perjalanan itu kami berborak tentang gadis berkebaya putih yang kami temui tempoh hari.

Kata Pak Din, dia sendiri turut berasa aneh. Selepas peristiwa tersebut, rezeki Pak Din melimpah ruah. Pernah dalam sehari Pak Din beroleh pendapatan sehingga RM500 ke RM600. Suatu jumlah yang sukar untuk diperolehi Pak Din pada hari-hari biasa.

Pak Din juga memberitahu saya wang kertas RM10 yang diberi gadis itu tidak digunakannya. Dia mahu menyimpannya sebagai kenang-kenangan. Peliknya, wang kertas RM10 itu masih tetap berbau harum.

Pak Din juga menceritakan, kononnya gadis berkebaya putih itu baru ‘pulang’ dari mengganggu teman lelakinya. Gadis itu dikatakan telah meninggal dunia kerana kecewa dengan teman lelakinya.

Bagaimana gadis itu mati, tidak pulak diketahui. Menurut Pak Din, dia hanya mendengar kisah gadis berkebaya putih itu daripada teman-temannya yang juga pemandu teksi. Malah, beberapa teman Pak Din juga pernah membawa gadis tersebut yang meminta dihantar ke lokasi yang sama.

Dikatakan hampir setiap malam Jumaat, kira-kira antara pukul 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi, gadis berkebaya putih itu sering muncul untuk menahan teksi di hadapan sekolah agama untuk ‘pulang’ ke rumah persemadiannya… ya, di kubur itu!

Walaupun sudah lama peristiwa ini berlaku, masih saya ingat sampai sekarang. Sesekali bila melalui kawasan perkuburan Taman Koperasi Polis di Gombak, pasti saya teringat kisah gadis berkebaya putih itu. Saya tidak pasti sama ada kelibat gadis itu masih muncul atau tidak sekarang.

Apa yang membuat saya tertanya-tanya, siapa gerangan gadis berkebaya putih itu?

**Pengalaman di atas diceritakan oleh Nuralia yang pernah ternampak gadis kebaya putih itu ketika menaiki teksi Pak Din.

___________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare