Bekas guru besar Mohamed Nor Azmi Darno (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada 2019. /GAMBAR Bernama

SEORANG bekas guru besar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan zakat, dengan nilai keseluruhan RM75,000 daripada sebuah syarikat korporat kepada murid asnaf di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh di mana tertuduh merupakan guru besar sekolah itu pada masa tersebut.

Mohamed Nor Azmi yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor didakwa menyalahgunakan wang sumbangan itu, masing-masing RM5,000; RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaannya sendiri dan tidak diagihkan kepada murid asnaf sekolahnya, bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah cawangan bank tempatan di Saujana Utama, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh pada 17 dan 19 Jun 2019.

Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusoff.

Baca artikel berkaitan: ‘Kelepek’ wang zakat untuk diri sendiri, guru besar direman lima hari

Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Terdahulu, Nur Asikin yang mewakili Mohamed Nor Azmi memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah daripada RM80,000 yang dicadang pihak pendakwaan, atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan enam anak dengan dua daripada mereka masih belajar serta tertuduh merupakan pencari nafkah utama keluarga.

Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk kesemua kesalahan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Nov depan.

Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi.- BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram Facebook Twitter Email WhatsApp Telegram LinkedInShare