air sebelum kejadian manusia
Gambar: UNHCR/Roger Arnold

Ketika ini kawasan Lembah Klang mengalami masalah catuan air. Acara tahunan yang terpaksa disambut oleh penduduk beberapa kali dalam setahun. Begitu pentingnya air untuk hidup terutama pada hari ini. Macam-macam perkara tidak dapat dilakukan jika tiada air. Itulah air. Ya air. Satu cairan yang menakjubkan dan Allah menjadikan darinya semua benda hidup sebagaimana firmanNya yang bermaksud,

“Dan Kami jadikan dari air segala sesuatu yang hidup, mengapakah mereka tiada juga beriman?” (al Anbiya‘ : 30 ).

Air juga yang diturunkan oleh Allah sebagai satu rahmat dan rezeki serta pembangkit kehidupan. Ia merupakan seajaib-ajaib kejadian. Ahli fizik mengatakan bahawa air adalah cairan yang tidak mempunyai warna, tidak ada rasa dan tidak berbau. Namun ia adalah selazat-lazat rasa yang boleh menghilangkan dahaga sesiapa yang haus. Ia merupakan ‘emas’ dunia yang paling mahal kerana ada yang mati tanpanya.

Air juga mempunyai rasa yang boleh menghidupkan. Disebabkan itu tidak hairan jika air pernah disembah dan dijadikan Tuhan oleh sebahagian daripada penganut agama kuno. Keajaiban air adalah untuk manusia menyelami kehebatan penciptaan Allah. Dia yang jadikan cairan ini sebagai rahsia dan tanda dan kekuasaanNya yang amat mengkagumkan bagi mereka yang mahu berfikir.

Para saintis mengatakan bahawa air itu terdiri daripada dua zarah hidrogen dan satu zarah oksigen. Rumusannya ialah ‘H20’. Sangat ‘simple’ kandungan air hasil dari kajian saintis. Namun, peranannya sangat besar sehingga boleh dijadikan segala benda hidup daripadanya. Jika semua benda hidup asalnya dari air, maka air wujudnya bila? adakah sebelum adanya segala benda hidup di dunia ini?

Menurut Pensyarah Jabatan AL-Quran & As-Sunnah, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Sahlawati Abu Bakar, jelas di dalam al-Quran perkataan air disebut oleh Allah sebanyak 59 kali menandakan kepentingan air itu sangat tinggi. Kesemua 59 kali itu membawa dua maksud air, iaitu air hujan dan air mani.

Allah ada berfirman mengenai kewujudan air adalah lebih awal sebelum Dia menciptakan sesuatu makhluk lain termasuk penciptaan langit dan bumi. Firman Allah menerusi surah Hud: 7,

“Dan Dia yang menjadikan langit dan bumi dalam masa sedang Arasynya berada di atas air (ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika Engkau (Wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kami akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipunya)”

Ibnu Najih dari Mujahid menjelaskan maksud ayat arasynya di atas air maknanya ialah sebelum Allah menciptakan sesuatu, air telah wujud. Malah Qatadah juga mengatakan sebelum Dia menciptakan langit dan bumi, air telah wujud. Perkara itu turut diakui oleh Imam Al-Qurthubi yang turut mengatakan perkara sedemikian.

Jika air diciptakan lebih awal berbanding langit dan bumi, justeru dari mana datangnya air? Jika hari ini kita percaya, air itu adalah dari air hujan yang turun dari langit. Tetapi awal penciptaan air dari mana jika ia wujud sebelum wujudnya langit?

Menjelaskan hal itu, Sahlawati berkata Abu Hayyan dalam kitab al-Bahr al-Muhith ada menerangkan dari Ka’ab ia berkata: “Allah menciptakan yaqut hijau, lalu Dia menatapnya dengan penuh wibawa sehingga ia bergetar menjadi air kerana takutkan Allah. Disebabkan itu juga, sehingga sekarang air selalu dilihat bergetar sekalipun ia diam. Allah kemudian menciptakan angin dan meletakkan air di atasnya, kemudian Allah meletakkan Arasy di atasnya.”

Istimewanya air sehingga Allah meletakkan ArasyNya di atas air. Namun jangan pula kita fikir, air yang kita rasa dan guna hari ini adalah air yang sama di bawah Arasy.

Ini kerana mungkin air itu nyata berbeza dengan apa yang kita lihat pada hari ini, disebabkan itu menceritakan bagaimana kejadian hujan di dalam al-Quran. Perbezaan itu juga membuktikan sifat dan zat Allah tidak akan ada yang sama dengan makhlukNya. Itulah kekuasaan Allah!” Wallahu a’lam

____________________________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam