PENYANYI dan pengacara Sissy Imann menafikan dirinya ‘anak emas’ di TV3 memandangkan dia mengendalikan beberapa program di stesen televisyen berkenaan.

Sebaliknya, ujar Sissy, ketika ini dia bersyukur atas rezeki yang diberikan kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab besar di stesen televisyen itu.

“Kalau nak kata saya ‘anak emas’ TV3, sepatutnya dari lapan tahun lalu lagi waktu awal pembabitan saya dalam dunia seni. Apabila berada pada tahap sekarang, saya anggap ia rezeki Allah.

“Sepanjang lapan tahun ini, dah macam-macam perkara saya lakukan seperti jadi penyanyi latar, pemuzik undangan, cipta lagu untuk finalis Idola Kecil musim keenam dan banyak lagi.

“Senang cerita, sudah banyak sudut pentas saya pernah duduk…di hadapan, sisi, belakang, pinggir, semua tempat lah saya dah pernah rasa.

“Cuma, ketika itu mungkin orang belum nampak bakat saya. Apa-apa pun bila dah sampai ke tahap ini, saya bersyukur sangat-sangat dengan nikmat yang diberi Allah,” katanya kepada URTV.

Ketika ini, Sissy mengacarakan prgoram Muzik-Muzik 36 bersama Alif Satar dan terkini, Idola Kecil Di Rumah.

Walaupun jadual hariannya sibuk dengan tugas mengacara, namun cintanya terhadap nyanyian masih menebal meskipun sedar masih ada segelintir pihak yang kurang mengenalinya sebagai penyanyi.

“Saya akui ramai yang kenal saya sebagai pengacara. Malah, rakan artis pun berkata hal yang sama. Secara peribadi, saya okay dengan situasi itu asalkan apa yang dilakukan serasi dengan jiwa.

“Saya suka cuba banyak perkara asalkan tidak lari daripada bidang seni. Sekurang-kurangnya saya dapat serlahkan bakat selain dapat timba pengalaman,” ujarnya yang juga merupakan guru vokal.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram