Sulaiman Md Ali mempengerusikan Mesyuarat Exco Negeri Melaka semalam./ Gambar FB Sulaiman Md Ali

DI pihak Pakatan Harapan (PH), mereka cuba mempersoalkan keabsahan kerajaan caretaker negeri Melaka.

Macam-macam hujah diberikan PH tetapi realitinya kerajaan caretaker memang diterajui pihak yang menjadi kerajaan sebelum DUN dibubarkan.

Justeru, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali tetap ‘jalan terus’ menjalankan fungsinya mentadbir kerajaan negeri sebagai kerajaan caretaker.

Ini termasuk mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan negeri Melaka yang berlangsung semalam di Seri Negeri selain merasmikian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021 peringkat negeri di Melaka hari ini.

Ditemui pemberita hari ini, Sulaiman berkata, mesyuarat exco semalam berjalan lancar seperti biasa di bawah kerajaan sementara walaupun mempunyai had dalam pengurusan dan pentadbiran.

“Ada yang boleh dan tidak boleh. Jadi, bagi memastikan kerajaan di bawah SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Kamel Mohamad, saya sebagai Ketua Menteri dan Exco yang ada sudah tentu membantu dalam apa juga cara agar kerajaan sementara ini terus berfungsi dengan baik.

“Ini terutama aktiviti berkaitan bantuan kepada rakyat dan pekerjaan yang sepatutnya berjalan seperti biasa, dipantau seperti kebiasaannya,” katanya.

Bac artikel berkaitan: Memahami fungsi kerajaan caretaker, rakyat jangan pening

Muhyiddin PM caretaker sehingga PM baru dilantik, PRU-15 bukan pilihan – Istana Negara

Sulaiman Md Ali merasmikan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021 peringkat negeri Melaka di sebuah hotel hari ini./ Gambar FB Sulaiman Md Ali.

Mesyuarat Exco berlangsung semalam adalah yang pertama dipengerusikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri kerajaan sementara sejak DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Dalam perkembangan berasingan, Sulaiman berkata, Melaka dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu ketiga bulan ini.

“Melaka sepatutnya boleh bersama dengan Pahang untuk beralih ke Fasa Empat namun keadaan kes yang turun naik menyebabkan kita tangguhkan dahulu. Keputusan peralihan fasa akan ditentukan pada minggu hadapan,” jelasnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram