NIAT untuk mempromosikan drama terbaru telah disalah erti oleh warganet apabila pelakon Fezrul Khan Junaidi, 39, memuat naik gambar memakai baju melayu di Instagramnya dengan kapsyen ‘selamat menikah semoga kekal hingga akhir hayat,’

Jelasnya, perkongsian tersebut adalah gurauan semata-mata dan sebagai medium untuk menghebahkan drama terbaru lakonannya yang berjudul Gantung terbitan Metrowealth International Group (MIG) arahan Ungku Ismail.

“Tiada apa-apa pun. Sengaja saya buat begini kerana MIG tak benarkan saya siarkan apa-apa gambar promosi. Jadi saya muatkan gambar sesuka hati saya,” katanya seperti memetik Harian Metro.

Tambahnya, sejak lima tahun menduda, Fezrul masih tidak terfikir untuk kembali membina mahligai buat kali kedua selepas berpisah dengan bekas isterinya.

“Tiada sesiapa mahukan saya. Jadi, apabila ada masa saja, saya akan berkebun. Kalau nak kata saya pandai kahwinkan durian Musang King, itu memang betul,” katanya yang memiliki dusun di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Untuk info, Fezrul pernah mendirikan rumah tangga bersama Noorhafizah Zulkafli pada 5 Mei 2012 tetapi jodoh mereka tidak berpanjangan dan bercerai pada 19 Ogos 2015.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Farrel Khan, 8, yang kini di bawah jagaan bekas isterinya.