DENGAR, hayati dan segarkan diri.

Itulah keistimewaan dan keunikan Box Kasih & Rindu Aura Rezeki yang dihasilkan khas sempena edisi Maulidur Rasul. Ia adalah projek istimewa membabitkan kerjasama penyanyi Daqmie dan pemilik produk Aura Rezeki, Julinda Miswan atau lebih dikenali menerusi nama komersialnya JM.
  
Biarpun dihasilkan dalam masa yang singkat, projek ini berjalan lancar dan disiapkan menepati jadual yang ditetapkan.
  
“Selepas mendapat persetujuan dari JM, barulah proses ke arah projek ini dimulakan. Mulanya, saya buat kertas kerja dan hantar pada dia. Umpamanya, hari ini cakap dan JM setuju, esoknya saya hantar kertas kerja.

“Dia kata okey boleh teruskan, maka kami terus buat mesyuarat pertama secara atas talian. Dalam mesyuarat pertama pada pertengahan Ogos, saya bentangkan garis masa kita untuk sampai ke 19 Oktober (Maulidur Rasul).

“Jadi, ada tiga bulan sahaja perjalanan. Bila dah dapat lampu hijau, saya pun mulakan produksi. Untuk produksi, lagu saya yang buat manakala produksi garam mandian pula dilakukan oleh Aura Rezeki,” katanya.

 Daqmie, 50,  atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap berkata, produksi rakaman lagu yang dikeluarkan dalam bentuk digital ini dibuat di studio miliknya iaitu Daqmie Music Factory. Sementara proses suntingan, mixing dan mastering dilakukan oleh Rumie Booty di Rumie Music Lab (RML).
 
Menurutnya, 10 lagu dalam album berkenaan adalah karya baharu kerana dengan cara ini, ia boleh diguna pakai tanpa perlu meminta kebenaran daripada pemilik sebelumnya.
 
“Lagu baru senang untuk dikendalikan. Yang keduanya antara sebab saya buat ialah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan, pemuzik seperti kami tiada kerja dan memang sangat terkesan.
 
“Bila kita ada produksi, kita berkongsilah dengan rakan-rakan. Sebenarnya rezeki dari projek ini bukan untuk saya seorang sahaja tapi ramai yang dapat.
  
“Ada lebih kurang lima keluarga yang berjaya menyelesaikan masalah kewangan untuk projek ini. Lima keluarga ini kalau bilangan ahli keluarganya tiga orang, sudah 15 orang yang dibantu,” katanya.

Daqmie dan Julinda di Majlis pelancaran Box Kasih & Rindu Aura Rezeki

Dengan perancangan kerja yang baik, Box Kasih & Rindu Aura Rezeki akhirnya berjaya disiapkan dan dilancarkan secara fizikal serta secara maya pada 11 Oktober baru-baru ini.

 “Saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk bekerjasama dengan Aura Rezeki. Sudah semestinya saya memberikan yang terbaik untuk projek ini.

“Saya tertarik dengan perkongsian JM di status Facebook miliknya lalu menghantar mesej peribadi di media sosial tersebut untuk menyambut semangatnya.
 
“Dia kata nak buat apa. Saya katakan ada satu proposal untuk JM sebab saya fikir rasanya sempat lagi nak buat perkara ini.
  
“Saya nak buat Box Kasih & Rindu Aura Rezeki Maulidur Rasul. Ia kerana ada persamaan antara Daqmie dan Aura Rezeki,” katanya membuka cerita pertemuan awal dengan JM.

Bercerita lanjut mengenai buah tangan terbaharu itu, Daqmi memberitahu album tersebut turut memuatkan garam mandian dengan wangian keluaran khas, pamplet dan QR Code dimana pembeli boleh ‘scan’ untuk mendapatkan lagu.
  
“Tempahan diuruskan oleh kakitangan Aura Rezeki menerusi ejen dan stokis.

 “Saya rasa seronok terlibat untuk projek ini kerana memang setiap tahun terbabit dalam program Maulidur Rasul sama ada bergandingan dengan pihak lain mahupun sendiri.
  
 “Tahun lalu saya bekerjasama dengan kumpulan Rabbani di Kundang, Selangor. Ketika itu rakan kongsi saya, Allahyarham Waie Ramli, pemilik Nasyeed.com masih hidup. Apabila dia meninggal, saya tiada rakan kongsi lagi,” ujarnya.

 Daqmie juga sudah menyiapkan muzik video lagu Kasih Yang Di Rindu daripada album ini dan boleh ditonton di akaun Youtube Aura Rezeki Malaysia Official.

Menerusi projek Box Kasih & Rindu Aura Rezeki, Daqmie yang agak lama menyepi selepas menghasilkan album Budi pada 2016, kini memikirkan akan kembali aktif menyanyi di atas pentas.

 “Dah sampai masanya untuk ke arah itu (menyanyi atas pentas). Sebelum ini saya seronok bekerja di belakang tabir, jadi penerbit, buat muzik dan seronok duduk studio. Perasaan itu lain macam rasanya.
  
“Tapi sekarang, studio pun tak macam dulu. Perasaan pun dah jadi terbalik. Saya lihat persembahan secara langsung lebih seronok. Jadi saya mahu ke depan pula seperti dahulu,” katanya.
 
Jelas Daqmie, Aura Rezeki ialah produk berasaskan garam, mandian garam dan selain daripada itu turut mempunyai 31 lagi produk.
  
“Saya susun 10 lagu baharu yang terdiri daripada doa, zikir dan selawat sebagai terapi untuk disesuaikan dengan produk Aura Rezeki
  
“Ini yang boleh saya bagi untuk kita bantu orang-orang yang dalam tekanan terutamanya petugas barisan hadapan yang bila mendengarnya boleh relaks.

“Kalau untuk ketenangan fizikal, dia boleh guna garam mandian pula untuk dapatkan kesegaran dan kecergasan. Garam yang dibuat untuk Box Kasih & Rindu Aura Rezeki merupakan garam yang memang khusus untuk program ini. Ia memang eksklusif dan sangat terhad dengan wangian khas,” jelasnya.

Sementara itu, Julinda, 44, yang mempunyai pengalaman lebihi 20 tahun dalam bidang  perniagaan, turut gembira dapat bekerjasama dengan Daqmie.

“Daqmie seorang yang kreatif dan apabila dia menyarankan projek ini, saya terus bersetuju kerana ada manfaatnya terhadap kedua- dua belah pihak.
  
“Saya juga mengharapkan agar penyokong kami dapat memberi sokongan padu terhadap projek ini kerana ia menampilkan konsep baru kepada mereka,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram