Orang ramai melakukan aktiviti sukan dan riadah bersama keluarga selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran peralihan fasa endemik. - GAMBAR FAIL: Abd Razak Aid

MESYUARAT Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju untuk membenarkan Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah beralih dari Fasa 2 kepada Fasa 3, mulai Isnin ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain itu, mesyuarat juga bersetuju membenarkan Melaka, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor beralih daripada Fasa 3 kepada Fasa 4.

“Dengan peralihan fasa bagi negeri-negeri yang dinyatakan, negara Malaysia secara keseluruhannya kini beralih ke Fasa 3,” katanya dalam satu kenyatan akhbar hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, peralihan fasa tersebut mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa.

Katanya, berdasarkan laporan kes positif COVID-19 harian yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), negara mencatatkan bilangan kes di bawah 10,000 kes sehari bagi tempoh dua minggu berturut-turut.

“Kadar kebolehjangkitan atau R-naught juga terus mencatatkan penurunan dengan mencatatkan angka di bawah paras 1.0 iaitu 0.86.

“Sehingga semalam, kadar vaksinasi populasi dewasa bagi dos pertama adalah 95 peratus, manakala jumlah yang menerima dua dos vaksin pula seramai 91.2 peratus dan dijangka terus meningkat,” katanya.

Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 3 dan 4 boleh dilayari di laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) www.mkn.gov.my.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol ‘test and release’ (T&R) dengan syarat perjalanan atau ‘itinery’ yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenalpasti.

Mereka adalah pembesar negara, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, exco kerajaan negeri, ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan.

Pelaksanaan program rintis ini akan berkuatkuasa 18 Oktober 2021 dan akan
diperluaskan kepada pengembara perniagaan (business travellers) dalam waktu
terdekat, kata Perdana Menteri.

Katanya, antara syarat-syarat yang dikenakan adalah mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan.

Mereka juga perlu menjalani ujian PCR tiga hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia dan menjalani ujian PCR setibanya di mana-mana pintu masuk negara.

“Syarat-syarat ini terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko
rendah sahaja. Syarat ini juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin,” katanya. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram