KES saman fitnah penyanyi Siti Nordiana terhadap lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura yang berlangsung hari ini ditangguhkan pada 20 Oktober.

Memetik laporan mStar, hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh baharu berkenaan selepas mengambil kira kelewatan pasukan pendakwaan menyerahkan penyata saksi.

Mahkamah yang bersidang secara atas talian itu diberitahu peguam mewakili Siti Nordiana iaitu Abang Azlan Abang Ariffin baru sahaja menyerahkan penyata saksi semalam.

ARTIKEL BBERKAITAN : Kes saman fitnah siber: Siti Nordiana naik mahkamah, Zoey Rahman jadi saksi , Kes saman RM2.5 juta Siti Nordiana terhadap 5 individu dibicara 29 September , Kes saman Siti Nordiana, lima sekawan tidak diwakili peguam , Makin panas! Siti Nordiana saman Lan Solo, Syura & tiga individu RM2.5 juta

Hakim turut menyarankan plaintif dan defendan menggunakan tempoh yang diberikan sehingga 20 Oktober depan untuk mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut membabitkan mereka.

Prosiding yang berlangsung selama satu jam itu turut dihadiri Siti Nordiana selaku plaintif.

Malah, kelima-lima defenden iaitu Lan, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36; isterinya, Nur Sheila Hassim, 36; Zuraidah Badron, 35, atau lebih dikenali sebagai Syura; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, 43; serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, juga hadir dalam perbicaraan terbabit.

Lan dan Sheila serta Syura diwakili peguam Muhammad Hafiz Hood dan Alan Razak.

Manakala peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli mewakili Sam dan Razidah atau Aida G.

Sementara itu, Nurul Hafidzah mengalu-alukan jika kedua-kedua pihak bersetuju untuk bermediasi atau menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah.

“Kita memang sarankan kepada anak guam untuk selesaikan hal ini secara baik sebab mereka pun pernah berkawan.

“Sebelum perbicaraan akan datang, mereka boleh berbincang cari jalan terbaik. Malah plaintif memaklumkan boleh bertemu tapi di kawasan berkecuali.

“Kita tunggulah apa kata putus daripada mereka nanti, sama ada diteruskan atau tidak kami sentiasa bersedia,” ujarnya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram