SEORANG pegawai dan empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM8,020 sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki yang ditangkap berkaitan kesalahan dadah antara 2014 dan 2018.

Inspektor Joevian Gubal Michael, 41, Sarjan Azizul Ismail, 32, Lans Koperal Hairul Amid, 36, Konstabel Afizul Azwan Anuar, 29, dan Koperal Abdullah Bakir, 44, yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manap.

Joevian Gubal, Azizul dan Afizul Azwan masing-masing didakwa atas empat pertuduhan, Hairul lima pertuduhan manakala Abdullah pula 18 pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Joevian Gubal didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM2,400, Azizul (RM900), Hairul (RM2,000), Afizul Azwan (RM470), dan Abdullah (RM2,250) daripada Anizan Misaranai, 39, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang ditangkap atas kesalahan dadah yang dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing menerusi tiga bank di Kota Belud, Tuaran dan Ranau antara 14 April 2014 dan 29 Jun 2018.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM4,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 November depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Nurul Izzati Sapifee.

Joevian Gubal, Azizul dan Hairul diwakili peguam Sylvester Kwan manakala Afizul Azwan dan Abdullah diwakili peguam PJ Perera.- BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram