SIAPA Evita? Secara ringkasnya, beliau adalah isteri bekas Presiden Argentina, Juan Peron (1946-­1955). Evita terkenal di seluruh dunia kerana karisma serta kecantikannya. Rakyat Argentina amat memuja dan menyayanginya.

Semasa menjadi Wanita Pertama Argentina, Evita sering  muncul  di balkoni Casa Rosada yang menjadi kediaman rasmi presiden dan berucap kepada rakyat miskin negara itu.

Eva Peron @ Evita

Kecantikannya disertai dengan senyuman yang manis, perwatakan menarik dan penampilan yang bergaya membuatkan Evita disayangi.

Malah, kejayaan politik Peron sebahagian besarnya dibantu oleh populariti Evita, sehinggalah wanita itu meninggal dunia pada 26 Julai 1952 akibat kanser serviks.

Pemergian Evita ditangisi oleh seluruh rakyat Argentina. Sejak itu balkoni Casa Rosada kosong. Halamannya juga kosong.

Kerjaya politik Peron mula menjunam, dan akhirnya dijatuhkan oleh rampasan kuasa angkatan tentera negara tersebut pada 1955.

Tetapi Evita tidak pernah dilupakan. Dia menjadi legenda moden. Kisah hidupnya diadaptasi dalam bentuk buku, drama pentas dan televisyen serta filem.

Paling terkenal adalah filem muzikal berjudul Evita (1996) lakonan Madonna dan Antonio Banderas.

Ramai yang tidak tahu bahawa Evita menyimpan pelbagai kisah sedih dan gelap dalam hidupnya. Mereka berkahwin pada 18 Oktober 1945 ketika Peron baru keluar dari penjara dan sedang sibuk berkempen sebagai calon presiden, yang kemudian dimenanginya.

Ini menyebabkan rakyat Argentina tertanya­-tanya, siapa wanita pertama mereka? Yang mereka tahu, Evita adalah seorang pelakon.

Evita dan suaminya, Juan Peron.

Sebaik Peron menjadi presiden, semua maklumat tentang latar belakang Evita dimusnahkan. Filem terakhir lakonan Evita juga tidak ditayangkan.

Persoalannya, kenapa latar belakang Evita cuba disembunyikan?

Ini kerana, Evita yang lahir pada 7 Mei 1919 dengan nama Maria Eva Duarte, adalah anak luar nikah. Ibunya, Juana, hanyalah perempuan simpanan seorang lelaki kaya bernama Juan Duarte.

Selain Evita, Juana mempunyai empat orang lagi anak luar nikah. Eva adalah anak bongsunya. Bukan itu saja, tarikh lahir Evita juga diubah menjadi tiga tahun lebih muda daripada usianya yang sebenar.

Setelah ditinggalkan oleh Juan Duarte, Juana membawa Evita dan anak­-anaknya yang lain berpindah ke Los Toldos, iaitu sebuah petempatan golongan miskin. Mereka hidup serba kekurangan.

Juana bekerja sebagai tukang jahit, namun ada dakwaan mengatakan dia turut menjaja dirinya untuk mencari wang tambahan bagi menyara anak-­anak luar nikahnya itu.

Mereka kemudiannya berpindah ke Junin ketika Evita berusia 11 tahun. Empat tahun kemudian, hidup Evita mula berubah apabila menjadi pelakon teater dan drama radio serta filem.

Kisah hitam inilah yang cuba disembunyikan. Malah, apabila Evita menulis autobiografi mengenai kisah hidupnya, buku itu hanya bermula ketika usianya 15 tahun, iaitu saat dirinya mula berpindah ke Buenos Aires untuk menjadi pelakon.

Evita amat dekat di hati rakyat Argentina.

Seterusnya, Evita bertemu dengan Peron pada 1944, ketika lelaki itu berusia 48 tahun, dua kali ganda daripada usianya. Peron ketika itu seorang kolonel tentera Argentina yang baru saja dilantik menjadi Setiausaha Buruh dan Setiausaha Perang kerajaan tentera negara tersebut. Yang menariknya Peron juga sebenarnya anak luar nikah!

Apabila menjadi isteri Peron, Evita tampil sebagai seorang wanita yang sopan, budiman dan berkeperibadian menarik. Namun sebelum mengahwini Peron, Evita dikatakan terlebih dahulu menjadi perempuan simpanannya!

Malah, Evita sebelum itu terpaksa bersaing dengan seorang lagi perempuan simpanan Peron untuk memenangi hati lelaki tersebut.

Evita dan Juan Peron.

Tidak dinafikan Evita adalah orang yang menaikkan populariti Peron. Bahkan dia juga yang bertungkus lumus dalam kerjaya politik Peron hingga lelaki itu berjaya menduduki kerusi Presiden.

Wajahnya yang jelita dan cara berpakaiannya yang cantik menyebabkan rakyat Argentina berasa bangga memiliki Wanita Pertama seperti Evita.

Ini ditambah dengan sikap Evita yang suka melawat rakyat Argentina yang hidup melarat, gelandangan, kawasan setinggan dan kilang-­kilang. Beliau akan bersalaman, memeluk dan mencium mereka ­ hatta yang menghidap penyakit kelamin tanpa rasa kekok atau takut.

Evita sentiasa mendekati rakyat golongan bawahan dan tidak kekok beramah mesra dengan mereka.

Setiap hari Evita memulakan kerjanya sejak awal pukul 7.00 pagi dan pulang pada waktu dinihari. Selepas tidur beberapa jam, Evita memulakan rutin hidupnya semula.

Oleh kerana popularitinya itu, ke mana sahaja Evita pergi, baik dalam mahupun luar negara, beliau akan menjadi tumpuan jurugambar serta pemberita. Seluruh dunia memujinya. Jualan akhbar meningkat setiap kali menyiarkan gambar beliau.

Mayat Disembunyikan

Pada 1950, Evita disahkan menghidap kanser serviks dan pada pukul 8.25 malam 26 Julai 1952, beliau meninggal dunia di Casa Rosada. Ketika itu usianya masih terlalu muda, 33 tahun.

Selepas kematiannya, mayat Evita segera diawet. Seluruh Argentina bersedih. Mereka belum puas menikmati kecantikan dan keikhlasan Evita juga khidmat jasanya kepada rakyat bawahan.

Mayat Evita diawet.

Rakyat negara itu terpaksa beratur berkilometer jauhnya untuk memberi penghormatan terakhir. Lapan orang meninggal dunia dan 2,000 orang lagi cedera semasa berebut-rebut hendak melihat mayat Evita dipindahkan dari kediaman rasmi presiden ke bangunan Kementerian Buruh.

Mayatnya kemudian dipindahkan ke bangunan Kongres untuk tatapan awam, hinggalah pada 1955 apabila Peron dilucut daripada jawatan presiden ekoran rampasan kuasa yang dilakukan oleh pihak tentera. Peron melarikan diri ke luar negara.

Tidak lama selepas itulah, mayat Evita tiba-­tiba hilang dari ruang pameran bangunan Kongres. Rakyat Argentina tertanya-­tanya, apa terjadi kepada mayat Evita? Siapa yang melarikannya?

Mayat Evita tiba-tiba hilang setelah Peron digulingkan.

Bukan jawapan itu yang diberikan, sebaliknya sisi gelap Evita dan Peron dibongkar satu persatu. Mereka dicemuh sebagai pasangan yang suka bermewah­-mewah.

Kediaman Evita dan Peron penuh dengan barang kemas, pakaian-pakaian mahal serta karya seni. Evita dikatakan pernah memakai 306 pasang baju dalam tempoh tidak sampai pun setahun.

Selain itu, terdapat bilik khas di rumahnya untuk menyimpan pakaian bulu, sebuah bilik untuk topi dan beberapa buah bilik lagi untuk pakaian bergemerlapan. Eva dan Peron turut didakwa menggelapkan berjuta-­juta dolar wang yang diperolehi dengan cara yang salah ke Bank Switzerland.

Kembali kepada persoalan, ke mana hilangnya mayat Evita?

Kerajaan tentera Argentina enggan mendedahkannya. Misteri itu hanya terbongkar pada 1976, apabila presiden negara berkenaan, Isabel de Peron membawa mayat Evita pulang dari Sepanyol. Isabel adalah isteri Peron yang dikahwini pada 1961.

Setelah dijatuhkan, Peron mendapatkan perlindungan politik di Sepanyol. Ketika itulah beliau mengahwini Isabel, atau nama sebenarnya, Maria Estela Martinez Cartas.

Isabel, wanita dikahwini Juan Peron setelah kematian Evita. Walaupun Isabel cuba meniru seperti Evita, tetapi dia tidak digemari rakyat Argentina.

Peron menjadi Presiden Argentina buat kali ketiga pada 1973, semasa berusia 78 tahun. Apabila Peron meninggal dunia pada 1 Julai 1976, Isabel yang ketika itu menjadi Naib Presiden dilantik menjadi Presiden menggantikan posisi suaminya itu.

Semasa mayat Peron dipamerkan kepada rakyat Argentina, ketika itulah Isabel mengarahkan supaya mayat Evita dibawa pulang ke tanah airnya.

Jadi, ke manakah menghilangnya mayat Evita sejak 1955?

Ketika inilah rahsia itu didedahkan. Setelah Peron dijatuhkan, kerajaan tentera Argentina menyembunyikan mayat Evita bagi menghapuskan legasi Peronisme, supaya ketaatan rakyat hanya kepada mereka sahaja.

Mayat Evita dipindahkan dari satu tempat ke satu tempat, termasuk disembunyikan dalam almari perabot di pejabat seorang ketua tentera! Apabila skandal pegawai tentera itu membunuh isterinya terdedah, mayat Evita diterbangkan ke Milan, Itali, kemudian disemadikan di sebuah tanah perkuburan menggunakan nama palsu.

Pada 1971, apabila kerajaan baru memimpin Argentina, mayat Evita dikeluarkan dari kubur tersebut dan dihantar kepada Peron yang hidup dalam buangan di Madrid, Sepanyol.

Dikatakan bahawa Peron meletakkan mayat isterinya itu di dalam keranda di atas meja ruang tamu kediamannya! Dikatakan juga, Isabel sering berbaring di atas keranda itu untuk menyerap kuasa mistik pesona dan karisma yang ada pada Evita ke dalam dirinya. Selain itu, Isbael akan menyikatkan rambut Evita.

Semasa menjadi naib presiden, Isabel cuba untuk meniru penampilan Evita. Namun sia­sia. Rakyat Argentina tidak menyukainya. Mereka lihat ia satu peniruan dan penipuan semata­-mata. Evita tidak akan ada pengganti.

Setelah lebih dua dekad, akhirnya mayat Evita kembali semula ke tanah kelahirannya dan disemadikan di Recoleta.

Pada 1976 barulah mayat Evita dipindahkan ke destinasi terakhirnya, iaitu di perkuburan keluarga Duarte di Recoleta. Sampai kini, walaupun sudah hampir 70 tahun meninggal dunia, makam Evita sentiasa dilawati pengunjung dari seluruh dunia.

Biarpun skandal dan misteri Evita sudah diketahui, namun itu semua tidak dapat menandingi sisi istimewa dan romantiknya. Sehingga kini, hanya seorang wanita yang dianggap mempunyai pesona sehebat Evita. Wanita itu ialah Lady Diana yang meninggal dunia pada 31 Ogos 1997.

Dont Cry For Me Argentina…

Salah satu filem muzikal popular tentang Evita. Watak Evita dilakonkan oleh Madonna.

__________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare