USAHA membawa pulang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat masih belum dapat dilakukan kerana polis belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Thailand.

Menurut laporan BH Online yang memetik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, pihaknya masih menunggu kebenaran bagi mengekstradisi Nur Sajat pulang ke negara ini.

Ketika ditanya keyakinan sama ada dapat membawa pulang Nur Sajat dalam masa terdekat, Abd. Jalil memaklumkan perkara itu bergantung kepada pihak berkuasa Thailand.

“Tiada perkembangan lanjut mengenai kes itu kerana kita masih tunggu jawapan daripada pihak berkuasa Thailand membabitkan proses ekstradisi usahawan berkenaan.

“Kita terikat dengan undang-undang negara berkenaan untuk membawa pulang Nur Sajat. Maka, kita perlu tunggu perkembangan daripada mereka,” katanya seperti dilaporkan BH Online.

Media sebelum ini melaporkan Nur Sajat ditahan pegawai imigresen Thailand pada 8 September kerana pasport tidak sah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM8,343 pada 10 September.

Baca artikel berkaitan: Nur Sajat pegang status UNHCR, tunggu tawaran negara ketiga

Usahawan terbabit ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok, Thailand bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan seperti wanita ketika serbuan pihak imigresen.

Nur Sajat diburu pihak berkuasa Malaysia selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan pada 23 Februari kerana gagal hadir pada sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Pada 15 Jun lepas, polis turut menjejaki Muhammad Sajjad bagi membantu perbicaraan kes penipuan pertukaran nama dan jantina pada kad pengenalan yang sedang berlangsung di Mahkamah Ampang.

Abd. Jalil dalam sidang akhbar 24 September lalu turut mengesahkan usahawan yang kini berada di Thailand itu memegang status Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Ia selepas pihak imigresen Thailand membatalkan pemilikan pasport antarabangsanya miliknya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram