Gabungan gambar merakam gelagat seorang lelaki melindungi kenderaannya daripada rosak akibat hujan air batu.


SEORANG lelaki Australia sanggup melakukan apa sahaja yang dianggapnya dapat melindungi kereta kesayangannya daripada mengalami kerosakan akibat hujan air batu yang melanda Sydney semalam.


Mail Online melaporkan, detik-detik melucukan lelaki itu berjaya dirakam seorang lelaki, Jake McGloin yang kemudiannya berkongsikan klip berkenaan ke akaun TikTok miliknya.


Pemilik kereta itu dirakam melindungi kereta Toyota Supra warna perak miliknya dengan kotak kadbod dan dia turut menutup bahagian hadapan kenderaan tersebut dengan badannya.
Tidak cukut setakat itu, lelaki berkenaan dirakam mengubah kedudukannya selepas air batu memenuhi badannya.


Terdahulu, ribut kuat melanda Sydney membawa hujan batu dan hujan lebat yang berlaku selama beberapa jam sebelum bergerak ke New South Wales.


Video itu setakat ini meraih lebih 500,000 tontonan di TikTok dengan kebanyakan pengguna media sosial memuji aksi pemilik kereta kerana mempertaruhkan badannya untuk melindungi Toyota Supra berkenaan.


Seorang pengguna menulis: “Berikan penghormatan sebentar untuk pengorbanan lelaki ini.”
Seakan bersetuju, seorang individu lain menulis: “Lelaki melindungi ‘bayinya’ tidak ternilai harganya.’


“Ini situasi yang menyedihkan. Dapat merasakan ketidakupayaannya,” tambah seorang lagi pengguna TikTok.


Sementara itu, lelaki yang dirakam dalam video itu mengesahkan kereta Toyota Supra kesayangannya  tidak memngalami kerosakan dalam ribut berkenaan.