Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein GAMBAR: Jabatan Penerangan

SEMUA anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan warga awam Kementerian Pertahanan meliputi seramai 14,102 individu telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi rakaman video dimuat naik ke akaun rasmi media sosialnya hari ini.

Menurut Hishammuddin, kejayaan itu selari dengan hasrat beliau yang mahukan ATM membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan memastikan seramai mungkin remaja termasuk anak warga ATM dan Kementerian Pertahanan menerima vaksin.

Kata beliau, ia juga sejajar dengan kempen #ReopeningSafely bagi menjadikan kawasan persekitaran selamat bagi anak-anak kembali ke sekolah.

“Hari ini saya cukup bangga dan gembira kerana hasil keupayaan anggota Tentera Darat Malaysia khususnya Kor Kesihatan Diraja serta berkat dorongan ibu bapa, kadar vaksinasi dos pertama bagi 14,102 anak anggota dan warga awam Kementerian Pertahanan telah mencapai 100 peratus.

“Ini sememangnya selari dengan hasrat saya yang mahukan ATM membantu KKM dan Kementerian Pendidikan memastikan seramai mungkin remaja termasuk anak warga ATM serta Kementerian Pertahanan divaksin lengkap menjelang pembukaan sekolah tidak lama lagi,” katanya dalam video tersebut hari ini.

Baca artikel berkaitan: Hampir 22 juta lengkap vaksin libatkan 91.2% dewasa

Mengulas lanjut, Hishammuddin memaklumkan akan memastikan inisiatif berkenaan terus bergerak seperti dirancang.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan tahniah dan meluahkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha berkenaan.

“Insya-Allah saya sendiri akan pastikan inisiatif ini terus bergerak seperti dirancang di kesemua 31 lokasi vaksinasi pandu lalu bagi membolehkan 14,102 remaja yang disasarkan ini menerima vaksinasi lengkap dalam masa terdekat.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada anggota, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat.

“Kekalkan momentum, semangat dan kesungguhan ini sehingga inisiatif ini selesai dengan jayanya. Insya-Allah syabas semua. Ini adalah satu pencapaian hebat!,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram