ilmu kebal dari kematian
Beberapa lelaki warga India melumuri tubuh dengan najis lembu untuk kebal dari jangkitan covid19

Sekitar tahun 1989 dahulu, seorang pemuda dari negara jiran bernama Dulisman telah ditangkap pihak berkuasa Malaysia melalui Ops Rabun. Beliau telah dituduh atas kesalahan memperkosa lebih dari 40 orang anak gadis di Lembah Kelang.

Dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa, Dulisman mengaku bahawa perbuatan terkutuk tersebut terpaksa dilakukan demi memenuhi syarat ilmu hitam yang diamalkannya. Menurutnya, dia perlu memperkosa lebih kurang 88 orang anak dara untuk memastikan dia dapat kekal muda dan hidup lebih lama.

Ilmu Kebal Senjata Syaitan

Dulisman adalah antara salah seorang manusia yang ditimpa nasib malang dalam usaha mencari kekebalan hidup. Jika kita kaji lebih mendalam, kita akan dapati bahawa keinginan untuk hidup lama merupakan salah satu dari senjata yang digunakan iblis untuk mengeluarkan Nabi Adam a.s. dari syurga. Firman Allah SWT dalam Al-Quran Surah Taha, ayat 120 yang bermaksud:

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?

Keinginan manusia untuk kebal dari kematian dan kebal dari kecederaan sangat diketahui oleh iblis dan kuncu-kuncunya. Lalu mereka mencipta pelbagai tipu daya untuk menjerumuskan manusia ke dalam amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan perintah Allah.

Kejayaan paling besar bagi jin dan syaitan apabila berjaya merosakkan akidah manusia dengan tipu helah mereka.

Antaranya ialah ilmu kebal kaca, ilmu dabus, kebal kulit nangka, kebal kanuragan, ilmu sangka bunuh dan pelbagai lagi dengan pelbagai nama dan versi. Ilmu sedemikian merupakan salah satu strategi iblis dan syaitan untuk menipu daya manusia. Iblis tahu manusia akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi lebih kaya, lebih hebat, lebih gagah, lebih tampan, lebih cantik.

Apabila sikap ingin lebih dari orang lain ada pada diri seseorang, maka akan timbul sifat tidak bersyukur. Apabila tidak bersyukur, maka ia akan membuka ruang kepada syaitan untuk menyusup masuk.

Bagi individu yang mempunyai latar belakang agama, maka iblis membisikkan kononnya ilmu kebal ini ada dalam Islam. Bahkan mereka mendakwa bahawa sebahagian sahabat Nabi s.a.w. ada yang belajar ilmu kebal.

Dakwaan sebegini sangat bertentangan dengan hakikat yang sebenarnya. Untuk menafikan dakwaan sebegini, maka sama-sama kita telusuri sejarah yang terkandung dalam al-Quran dan juga sunnah.

Sejarah Manusia Hidup Lama

Dalam lipatan sejarah, terdapat beberapa kisah manusia yang Allah takdirkan hidup lebih lama dari kebiasaan manusia biasa. Antara kisah yang terkenal ialah kisah penghuni gua (Ashabul Kahfi) yang ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun. Firman Allah dalam surah al-Kahfi: 10-12,

”Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah ’Ashabul Kahfi’ dan ’Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.”

Dikatakan di sinilah tempat di mana pemuda ashabul kahfi ditidurkan selama lebih 300 tahun.

Begitu juga dengan kisah Nabi Uzair yang telah ditidurkan oleh Allah selama 100 tahun. Kisah ini tercatat dalam surah Al-Baqarah: 259,

“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?” Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya:

“Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun.

Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “.

Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Selain Ashabul Kahfi, Nabi Uzair juga merupakan manusia yang ditidurkan Allah selama seratus tahun bagi melihat kekuasaan Allah SWT

Berdasarkan kedua-dua kisah di atas, maka kita dapat melihat beberapa perbezaan antara suatu perkara luar biasa yang dikurniakan Allah berbanding dengan keajaiban yang berlaku hasil pertolongan syaitan melalui amalan-amalan salah.

  • Kisah luarbiasa yang berlaku kepada Ashabul Kahfi dan Nabi Uzair adalah bertujuan untuk menunjukkan kekuasaan Allah kepada manusia. Mudah-mudahan dengan yang demikian akan menjadikan manusia semakin yakin kepada Allah dan menambahkan lagi keimanan mereka. Berlainan dengan ilmu kebal. Ianya lebih untuk menunjukkan kehebatan pengamalnya, bukan untuk menunjukkan kekuasaan Allah.
  • Kisah Ashabul Kahfi dan Nabi Uzair berlaku tanpa dirancang. Ianya adalah kurniaan Allah dalam bentuk mukjizat dan karamah. Ia berlaku secara spontan, tidak dipelajari dan tidak berulang. Berlainan dengan ilmu kebal. Ianya merupakan istidraj dan sihir kerana ianya perlu dipelajari, boleh dirancang dan terjadi berulang kali mengikut kehendak pengamalnya.
  • Kisah Ashabul Kahfi dan Nabi Uzair tidak melibatkan sesuatu yang berupa larangan dan tegahan Allah. Ianya berlaku tanpa memerlukan syarat tertentu. Manakala sesuatu yang datang dari syaitan biasanya dalam bentuk amalan yang dilarang oleh Allah.

Contohnya, larangan memakan buah khuldi, larangan memperkosa, larangan menuntut ilmu dari kahin (bomoh dan pawang), larangan bertemu ’arraf (tukang tilik) untuk mengetahui hari nahas, larangan menggantung tangkal kebal dan seumpamanya.

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail, Pensyarah Universiti Malaysia Pahang

____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare