SEPANJANG hayatnya, Islam adalah perjuangannya. Ketika berusia 80 tahun, dia sebenarnya boleh duduk goyang kaki menikmati skim persaraannya. Tetapi itu bukan dirinya.

Lelaki ini terus juga berbakti untuk menegakkan Islam. Khidmat yang dihulurkan bukan mengira ganjaran tapi keikhlasan. Gajinya tidak pernah digunakan kecuali untuk membantu mereka yang susah. Bantuannya tersebar ke seluruh dunia hinggakan wanita tua yang miskin di Afrika Selatan pun mengenalinya.

Rumahnya sentiasa dipenuhi tetamu yang akan datang menemaninya ketika makan. Dia tidak akan makan sehingga semua tetamunya berada di meja.

Ini hanya sedikit kisah ulama Islam, genius buta pertama yang dilantik sebagai mufti Arab Saudi. Siapa lelaki ini? Dia adalah Abdul Aziz bin Abdullah Ibnu Baz, juga dikenali dengan panggilan Syaikh Ibnu Baz, mufti besar Arab Saudi dari tahun 1993 hingga 1999.

Pernah sepucuk surat dikirimkan dari Filipina sampai ke tangan Syaikh Ibnu Baz. Pengirimnya adalah seorang balu yang membesarkan anak-anak selepas kematian suami. Air matanya jatuh ketika membaca surat itu.

Surat itu menceritakan kedukaan yang ditanggung oleh seorang balu Islam yang malang, membesarkan anak sendirian setelah suaminya mati. Kisah tragisnya bermula kerana perbezaan agama yang dianuti dengan penduduk setempat. Suaminya ditangkap oleh ahli keluarganya yang berlainan beragama lalu disumbatkan ke dalam perigi buta.

Kisah itu menyentuh hati Syaikh Ibnu Baz, lalu dia mengirimkan sepucuk surat kepada badan berkuasa memohon bantuan untuk wanita itu. Namun jawapan yang diterima menghampakannya kerana tidak ada peruntukan. Atas ihsan hatinya, beliau menulis surat supaya gajinya dipotong sebanyak 10 ribu riyal untuk didermakan agar dapat melegakan sedikit kesengsaraan wanita itu.

Itu hanya secebis daripada beribu kisah yang dilalui Syaikh Ibnu Baz. Datanglah kepadanya untuk meminta bantuan, jarang sekali dihampakan.

Pernah suatu ketika Syaikh Ibnu Baaz menghentikan pembentangan seminarnya hanya untuk menjawab satu panggilan telefon. Semua yang memenuhi dewan itu tercengang, mana lebih penting seminar tersebut atau panggilan telefon itu.

Namun bagi Syaikh Ibnu Baaz, panggilan itu lebih penting kerana ada seorang wanita yang memerlukan pertolongannya dengan segera.

Antara panggilan seorang wanita yang tidak dikenali dengan majlis penting negara, bagi Syaikh Ibnu Baaz hal yang remeh lebih penting. Dia selalu mengingatkan pelajar­pelajarnya kalau tidak ada yang remeh, masakan datang yang berat.

Lahir Celik Sebelum Menjadi Buta

Syaikh Ibnu Baz dilahirkan pada 22 November 1910, ayahnya meninggal ketika dia berusia tiga tahun. Namun itu bukan halangan untuknya mendapatkan pendidikan yang sempurna. Paling dititikberatkan oleh ibunya adalah ilmu syariah. Kemudian pada usia 26 tahun, ibunya pula meninggal dunia.

Syaikh Ibnu Baz.

Ketika berusia 13 tahun, dia sudah mula bekerja, membantu abangnya menjual pakaian di pasar. Walaupun sibuk bekerja, dia tetap mencuri masa belajar mendalami al­-Quran, hadis, fiqh dan tafsir.

Dugaan datang ketika dia berusia 16 tahun. Ketika itu Syaikh Ibnu Baz mengalami jangkitan serius pada kedua­dua matanya. Perlahan-­lahan kuman itu memakan penglihatannya hingga dia menjadi buta.

Hilang penglihatan tidak melunturkan semangatnya. Walaupun pandangannya gelap tapi hatinya digilap setiap hari supaya sentiasa bersinar.

Syaikh Ibnu Baz terus belajar, menghafaz al­-Quran dan hadis tanpa henti. Di bawah bimbingan ulama terkenal, Syaikh Ibnu Baz menjadi seorang tokoh pemikir yang kritis dan berpandangan jauh.

Sejak dari kecil lagi ingatannya terhadap al-­Quran dan hadis cukup tajam. Dia mampu mengingati setiap ayat dan sabda nabi dengan mudah. Tidak hairanlah kalau dia digelar al-­Quran dan hadis bergerak. Bagi Syaikh Ibnu Baz, tidak ada pengetahuan atau ilmu yang paling lengkap di dunia ini selain al-­Quran dan hadis.

Tajam Fikiran, Kuat Ingatan

Pada tahun 1993, Syaikh Ibnu Baaz telah dilantik menjadi mufti besar Arab Saudi. Ketika itu usianya sudah pun mencecah 82 tahun, namun ketajaman fikirannya tidak ada tandingan.

Syaikh Ibnu Baaz masih boleh mengeluarkan fatwa dan membuat penyelidikan mengenai al­-Quran dan sains.

Syaikh Ibnu Baz.

Walau pun sering dikritik namun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya. Pernah suatu ketika seorang lelaki datang dan menyumpah seranah serta melemparkan kata-kata kesat kepadanya. Ketika itu Syaikh Ibnu Baz menjadi hakim. Sebagai manusia biasa kita mudah panas hati apabila dimarahi dan  disumpah seranah. Sebaliknya Syaikh Ibnu Baz hanya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang reaksi.

Hendak dijadikan cerita, pada tahun yang sama juga Syaikh Ibnu Baz pergi mengerjakan haji dan lelaki yang menyumpahnya itu meninggal dunia. Apabila dibawa ke masjid untuk solat jenazah, tidak ada seorang imam pun yang sanggup menyempurnakannya. Semua imam menolak lelaki yang telah menghina ulama.

Apabila berita itu sampai ke telinga Syaikh Ibnu Baz, dia cukup kecewa. Kembali dari mengerjakan haji, Syaikh Ibnu Baz terus menziarahi kubur lelaki itu. Lantas imam yang enggan menjalankan tanggungjawab tersebut ditegur. Syaikh Ibnu Baz tidak pernah menyimpan dendam pada lelaki itu malah telah lama memaafkannya.

Selain tajam fikiran, Syaikh Ibnu Baz juga seorang yang kuat ingatan. Pernah terjadi perbalahan antaranya dengan Sheikh Abdul Azeez as Saad tentang sebuah hadis yang tidak pasti dari mana riwayatnya.

Namun dengan mudah Syaikh Ibnu Baz menjawab, sumber hadis itu iaitu sahih Bukhari tetapi anak muridnya tidak puas hati kerana dia membaca hadis itu dari kitab hadis yang lain.

Akhirnya Syaikh Ibnu Baz meminta muridnya membawa kitab yang dibaca sebagai bukti dakwaan itu. Ternyata Syaikh Ibnu Baz yang benar dan tepat.

Ingatannya pada hadis bukan sekadar isu yang diperbincangkan tetapi juga siapa perawinya. Hanya dengan menyebut saja permulaan hadis dia sudah tahu diriwayatkan oleh siapa.

Satu keistimewaan Syaikh Ibnu Baz, dia boleh mengenali suara seseorang walaupun dalam suasana yang bising. Dia boleh mengecam suara ulama atau penceramah walaupun sudah bertahun-­tahun tidak bertemu. Mampu mengingati setiap perwatakan, minat, kepakaran, masalah, kecenderungan dan keupayaan seseorang walaupun terlalu ramai yang pernah ditemuinya.

Selama 58 tahun bekerja, Syaikh Ibnu Baz tidak pernah mengambil cuti walaupun sehari. Masa tidurnya tidak lebih daripada empat jam.

Pada bulan Ramadan 1419, kesihatannya semakin menurun, kerana jangkitan kuman pada esofagus. Agak lama juga dia terlantar di hospital, namun tidak pernah keluar rungutan dan keluhan dari mulutnya. Hanya riak wajahnya yang menceritakan kesakitan dan tapak tangannya diletakkan di dada menahan sakit.

Sepanjang tahun 1998, masanya banyak dihabiskan di hospital, namun semangatnya untuk terus berbakti pada agama dan negara tidak pernah luntur. Pembantu peribadi dan jurutulisnya akan ada di sisinya untuk membacakan surat, mesej, isu mahkamah tentang perceraian atau apa saja yang memerlukan bantuannya.

Pada malam Rabu, 12 Mei 1999, Syaikh Ibnu Baz berkumpul dan bermesra bersama anak­-anak dan keluarganya hingga pukul 12.00 malam. Hatinya rasa lega kerana dapat menyampaikan sesuatu yang berguna kepada keluarga sebagai amanat terakhir.

Matanya baru saja terlelap tapi kesakitan tiba-­tiba mengejutkannya pada pukul 2.00 pagi. Menjelang subuh 13 Mei, ketika hendak menunaikan solat, Syaikh Ibnu Baz yang berusia 90 tahun akhirnya kembali dijemput Ilahi. Jenazahnya dikebumikan di perkuburan Al Adl di Mekah.

____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare