Langkah penubuhan Institut Dasar dan Polisi Pendidikan Negara oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disokong penuh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

Beliau berkata demikian  semasa hadir melancarkan portal berita E-PENA dan U-MEDIA (Urus Setia Media Universiti) atas inisiatif bahagian Komunikasi Korporat di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah hari ini.

Malah, katanya, UPSI mempunyai sejarah dalam pendidikan lebih awal sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC). Oleh kerana UPSI berkait rapat dengan dunia pendidikan, katanya, dengan adanya sebuah Institut Dasar dan Polisi Pendidikan Negara maka ia akan memberi kelebihan.

Ahmad Masrizal diiringi Md Amin (tiga dari kanan) melawat ruang jualan cenderamata sempena sambutan 100 tahun UPSI.

“Justeru, saya mahukan UPSI memiliki sebuah Institusi Polisi dan Dasar yang boleh dijadikan pusat rujukan serantau dalam  bidang pendidikan,” jelasnya. 

Beliau berkata langkah itu dianggap tepat dan memperlihatkan kelainan UPSI sebagai sebuah universiti pendidikan yang akan membezakannya dengan universiti lain.

Selain itu beliau turut berbangga apabila UPSI merupakan sebuah universiti yang berada dalam kalangan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi iaitu sebanyak 90.2% pada tahun 2020.

“Saya juga yakin UPSI mampu membuat unjuran keperluan pasaran graduan di peringkat negara dengan mengambil kira unjuran daripada peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kebolehpasaran graduan ini bergantung kepada beberapa perkara. Keluar drp UPSI tiba-tiba tiada kerja, itu satu soal cabaran yang baik,” tambahnya lagi.

Ahmad Masrizal meluangkan masa melawat Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC).

Hadir sama Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk. Shaharuddin Abu Sohot dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Prof. Dr. Robiah  Yunus.

Terdahulu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff  membentangkan sejarah, latar belakang, prasarana,  pencapaian cemerlang serta perkembangan kemajuan yang dicapai UPSI sejak ditubuhkan.

Beliau berkata memiliki pelbagai kemudahan sukan bertaraf nasional dan antarabangsa, persekitaran sejarah serangan komunis, bangunan warisan, muzium, panorama indah serta di kelilingi kawasan rekreasi luar bersumberkan alam.

Katanya   Institut Dasar dan Polisi Pendidikan Negara akan  menjadi pusat pasukan pemikir, pengkaji dan pakar-pakar  yang akan mengkaji perkembangan pendidikan negara peringkat menengah, rendah mahupun tinggi.

Pasukan  berkenaan, katanya, akan merancang hala tuju pendidikan negara apa yang akan berlaku 10 tahun akan datang.

Selepas pelancaran e-PENA dan U-MEDIA, Ahmad Masrizal  mengadakan  lawatan dan taklimat   pengoperasian  UPSI Sport City (Arena UPSI, Stadium dan Marina), Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (Bilik Simulasi Saham & Smart Classroom) serta  Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC).