Sebahagian daripada pelajar-pelajar sekolah menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin Covid 19 pada Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sivik, Petaling Jaya baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 91.4 peratus populasi dewasa di Malaysia sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 setakat semalam.

Jumlah itu merangkumi 22.03 juta individu manakala keseluruhannya, 95.1 peratus penduduk dewasa di negara ini telah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan COVID-19 (JKJAV), 7.01 juta individu lengkap divaksinasi di Lembah Klang yang merangkumi 112.6 peratus populasi dewasa.

Ini diikuti Negeri Sembilan dengan 99.9 peratus populasi dewasa di negeri itu sudah melengkapkan vaksinasi.

Sabah dan Kelantan masing-masing merekodkan 67.3 peratus dan 75 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Semalam juga menyaksikan 174,732 dos diberikan dengan 129,359 menerima dos lengkap.

Tertinggi mencatatkan pemberian vaksin semalam ialah Selangor, Sabah, Johor dan Perak.

Baca artikel berkaitan: Segerakan tindakan kepada kumpulan antivaksin – KJ

Betul tu, jangan bagi muka pada antivaksin

Keseluruhannya jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Februari lalu meningkat kepada 46.63 juta.

Bagi kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 20.2 peratus atau 637,079 orang telah melengkapkan suntikan vaksin manakala 77.5 peratus atau 2,439,727 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK bagi golongan itu yang bermula sejak 8 September lepas.