Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan adik Muhammad Arif Izzuddin Shahril Sham,14, (kanan) ketika mengadakan lawatan ke Perumahan Awam Seri Perak, Sentul, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEMUA 67 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka mendapat lif baharu dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun lagi. 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sebanyak RM127 juta bagi menggantikan semua lif lama di PPR dan PA terbabit. 

Ismail Sabri berkata kerja-kerja penggantian lif itu dijangka dimulakan awal tahun depan selepas proses perolehan kontrak selesai. 

“Di mana-mana PPR pun lif ini sangat penting untuk pergerakan penduduk dan kerajaan memandang serius masalah ini (lif lama dan rosak). 

“Saya berharap proses perolehan dapat dipercepatkan dan jangka masa (kerja penggantian lif) mungkin setahun hingga dua tahun bergantung kepada kontrak dan jumlah blok bagi setiap PPR,” katanya pada sidang media selepas meninjau PA Seri Perak, Sentul hari ini. 

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan kepada orang ramai ketika mengadakan lawatan ke Perumahan Awam Seri Perak, Sentul, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Ismail Sabri berkata daripada keseluruhan peruntukan oleh DBKL itu, sebanyak RM8.4 juta disalurkan kepada PA Seri Perak bagi kerja-kerja penggantian 14 unit lif di tujuh blok kawasan perumahan tersebut yang telah berusia 35 tahun. 

Selain itu, katanya DBKL juga memperuntukkan RM1.8 juta bagi tujuan pendawaian elektrik di PA Seri Perak. 

Beliau berkata di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), kerajaan memperuntukkan RM15 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaiki kemudahan seperti longkang, kaki lima, taman permainan kanak-kanak dan gelanggang futsal di semua PPR dan PA di Kuala Lumpur. 

Ditanya mengenai masalah kekurangan tempat meletakkan kenderaan di kawasan PPR dan PA, perdana menteri berkata kerajaan sedang meneliti beberapa kaedah untuk mengatasi masalah tersebut termasuk cadangan membina bangunan meletak kenderaan bertingkat.- BERNAMA 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram