Anwar Ibrahim

DATUK Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan beberapa kemudahan ditawarkan kerajaan dalam menambah baik fungsi Ketua Pembangkang.

Dalam satu kenyataan malam ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau sama sekali tidak dapat menerima kemudahan setaraf menteri yang diterimanya itu dan akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.

“Saya ucap terima kasih atas kesediaan serta pengiktirafan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan kerana bersetuju menambah baik taraf Parlimen dan fungsi Ketua Pembangkang seperti selayaknya dalam mana-mana negara demokratik di dunia.

“Namun, saya tidak bersetuju dengan butiran sepertimana disebut dalam surat tawaran kepada saya yang diutus Perdana Menteri. Butiran-butiran ini adalah sebahagian daripada kemudahan penuh kepada seorang menteri,” katanya.

Anwar berkata, butiran itu ialah sebulan gaji bulanan sebanyak RM14,907.20; elaun keraian sebulan (RM 12,320); bayaran khas sebulan (RM 1,500); elaun rumah sebulan (RM4,000); elaun selenggara rumah sebulan (RM833); elaun pakaian panas iaitu sekali dalam 3 tahun (RM6,000).

Turut diterima Anwar adalah elaun pakaian upacara rasmi (sekali dalam 3 tahun) (RM1,500); elaun bayaran pakaian ‘black tie’ (sekali dalam 3 tahun) (RM1,500) dan sebuah kereta rasmi serta penggunaan kenderaan peribadi untuk tugas rasmi.

Menurut Anwar, Perdana Menteri juga bersetuju memberi kemudahan untuk sebuah pejabat bagi Ketua Pembangkang dan beberapa kemudahan lain termasuk staf bagi membantu urusan kerja dan pejabat.

Namun katanya, beberapa kemudahan lain yang setaraf menteri tidak dapat diterima beliau sama sekali.

“Malah, saya akan menyalurkan dana tersebut untuk tabung rakyat miskin.

“Saya juga telah tegaskan pada pihak Parlimen yang menyediakan pejabat saya untuk tidak membuat sebarang pengubahsuaian dan diberi peruntukan tambahan,” katanya.

Sementara itu Anwar menjelaskan, pengiktirafan kepada Pejabat Ketua Pembangkang itu tidak bermaksud PH akan mendukung apa sahaja dasar kerajaan tanpa soal.

“Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri dalam surat kepada saya itu, keputusan ini tidak menjejaskan peranan Ketua Pembangkang. Saya akan tetap menjalankan tugas seperti sediakala.

“Aspek semak imbang akan terus diperhebat bagi memastikan negara ini terus di landasan demokrasi,” tambahnya.

12 Oktober lalu, Ismail Sabri telah menyerahkan surat pengesahan kepada Anwar untuk menaik taraf status Pejabat Ketua Pembangkang dengan kemudahan-kemudahan yang setara dengan pejabat Menteri.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke melalui laman akaun Facebook miliknya selepas menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Pada 13 September lalu, kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.