PADA tahun 1981, akhbar-akhbar di Britain melaporkan suatu berita aneh mengenai sepasang adik-beradik kembar yang dihukum penjara kerana mengganggu seorang lelaki.

Adik-beradik kembar itu ialah Greta dan Freda  Chaplin, 39, dan mereka dipenjarakan selama enam minggu.

Keanehannya bukan kerana kesalahan tersebut, tetapi lebih daripada itu termasuklah mencintai lelaki yang sama. Asalnya, sebelum dihukum penjara, Freda dan Greta telah diberikan amaran oleh mahkamah supaya tidak lagi mengganggu dan mengurat jiran mereka, Ken Iveson, yang berusia 56 tahun.

Iveson yang bekerja sebagai pemandu lori sudah terlalu bosan kerana dia telah diganggu selama 20 tahun, iaitu sejak Freda dan Greta masih berusia 19 tahun lagi.

Dalam laporan yang dibuatnya kepada polis dan semasa memberi keterangan di mahkamah, Iveson memberitahu segalanya bermula apabila dia memarahi kedua-dua wanita tersebut kerana membaling cebisan akhbar ke dalam kawasan rumahnya di Moore Avenue, York, England.

Selepas itu, kembar tersebut selalu menunggunya bahkan cuba untuk memikatnya. Semakin mereka dewasa, perangai kembar itu semakin teruk sehingga sanggup mengintai dari sebalik dinding.

Kerana tidak sanggup diganggu dan diekori, Iveson akhirnya mengambil tindakan undang-undang terhadap kembar itu.

Freda dan Greta.

Apa yang menarik perhatian bukanlah kes tersebut, tetapi persamaan yang ditampilkan oleh Freda dan Greta. Di dalam mahkamah, mereka bercakap serentak dan menggunakan perkataan serta ayat-ayat yang sama.

Mereka dilihat mempunyai persamaan minda, tubuh badan, kelakuan serta perasaan. Seolah-olah Freda adalah cermin kepada Greta, begitulah sebaliknya.

Para wartawan yang membuat liputan berasa hairan melihat persamaan itu. Mereka mula mengorek kisah hidup kedua-dua beradik kembar itu, dan memberikan pelbagai gelaran. Antaranya, ‘Pasangan Kembar Dahsyat’ dan ‘Kembar Perosak’.

Salah sebuah akhbar melaporkan, bekas penolong pengetua tempat kedua-dua wanita itu bersekolah dahulu, menyalahkan ibu kembar tersebut kerana menyebabkan mereka enggan berpisah.

Freda dan Greta.

Dikatakan sejak kecil lagi ibu Freda dan Greta tidak mahu kembar itu dipisahkan. Ketika usia mereka 11 tahun, Freda dan Greta akan menjerit-jerit kalau guru mahu memisahkan tempat duduk mereka.

Baik di rumah mahupun di sekolah, Freda dan Greta hanya bermain berdua dan tidak bercampur dengan budak-budak lain. Seorang jiran memberitahu, sewaktu kecil Freda dan Greta sering ke rumahnya. Bila dia hulurkan biskut, mereka akan serentak mencapai biskut yang sama.

Kembar itu akan menyanyi berdua dengan menyebut lirik yang sama dalam nada yang serupa. Jikalau ibu mereka memberikan dua pasang stoking yang berbeza warna, Freda dan Greta akan memakai stoking yang sebelah kaki berlainan warna juga.

Sesuatu yang tidak menyenangkan, kembar tersebut menangis secara serentak jika mendapat tahu mereka akan dipisahkan. Freda dan Greta meraung sambil menjerit, “Tidak ada apa yang boleh pisahkan kami. Kami akan tetap bersama dan melakukan semua perkara secara bersama.”

Freeda dan Greta.

Atas belas ihsan dan kerana berkelakuan baik di penjara, mahkamah membebaskan Freda dan Greta dua minggu lebih awal daripada tempoh hukuman.

Wartawan terus mengekori pasangan kembar itu. Dilaporkan, sewaktu dibebaskan, seorang pekerja sosial telah memberikan setiap seorang daripada mereka sebuku sabun yang berlainan warna. Apa yang dilakukan oleh Greta dan Freda ialah memotong sabun itu dan dibahagi dua!

Wartawan juga mendapati pasangan kembar itu mempunyai tabiat makan yang serupa. Mereka akan menyuap makanan pada masa yang sama, waktu habis makan pun sama.

Greta dan Freda kemudian dimasukkan ke sebuah asrama dan diwajibkan setiap hari melapor diri di sebuah hospital untuk menjalani terapi pekerjaan. Latihan yang diberikan kepada mereka termasuklah menggubah bunga dan membuat kraf tangan. Apa yang menarik ialah, hasil tangan mereka sangat serupa.

Freda dan Greta sewaktu ditemubual wartawan.

Ketika ditemu bual oleh London Daily Star, wartawan akhbar berkenaan tercengang apabila melihat Greta dan Freda bercakap dengan nada yang sama, seolah-olah mereka boleh membaca fikiran antara satu sama lain. Kadangkala seorang memulakan ayat dan seorang lagi menghabiskannya.

Apabila ditanya tentang perkara itu, mereka menjawab, “Sejak dulu lagi kami begini. Kami lakukan semua perkara bersama, bercakap serentak, pakai baju yang sama, mandi bersama dan kami suka makanan yang sama. Ke mana kami pergi pun mesti bersama.”

Malangnya, kata pasangan kembar itu: “Orang ramai selalu memandang dan ketawakan kami apabila terserempak di jalanan. Kami sedih sebab masyarakat selalu menyakiti hati kami. Kalau boleh kami ingin lari dari sini dan mencari satu tempat baru yang membolehkan kami hidup bersama tanpa gangguan,” jelas Freda.

Pasangan kembar ini dikaji oleh ramai pakar perubatan, antaranya Dr. Wilfred Hume, dari Jabatan Psikiatri, Universiti Leeds.

Dr. Wilfred memberitahu media, “Saya tidak pernah jumpa kes begini. Saya dapati, kehidupan mereka sudah tidak boleh diubah lagi. Satu masalah yang akan timbul nanti ialah apabila salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Mampukah yang seorang lagi hidup berseorangan?”

Akhirnya Greta meninggal dunia pada Jun 2007 ketika berusia 64 tahun akibat kanser rahim. Tinggallah Freda sendirian di rumah usang mereka di York, tempat kedua-duanya lahir, dibesarkan dan melalui hidup bersama.

Freda meneruskan hidup tetapi tertekan dan kesepian. Setiap hari Freda akan menziarahi kubur Greta, sehinggalah dia mula jatuh sakit di penghujung usianya.

Akhirnya pada Oktober 2020, Freda meninggal dunia di usia 77 tahun, 13 tahun selepas kematian kembarnya. Dia dikebumikan bersebelahan dengan makam kakaknya.

Akhirnya kembar ini disatukan bersebelahan di makam yang sama.

____________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare