SERAMAI 16 wanita warga asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di dua buah premis pusat hiburan yang berselindung di sebalik pusat mencuci kenderaan dan menyediakan pelayan pelanggan (GRO) di Kepong, Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Pengarah Datuk Khairula Dzaimee Daud berkata,  pintu masuk utama ke premis ini tidak mempunyai papan tanda dan hanya dibuka separuh sahaja untuk pelanggan-pelanggan tetap.

‘’Manakala di satu lot lagi menggunakan papan tanda Pusat Mencuci Kenderaan bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa. Hasil pemantauan, premis tersebut dilihat seperti tiada sebarang aktiviti perniagaan dan kurang dikunjungi,’’ katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata serbuan dilakukan ke atas rumah kedai dua tingkat itu pada pukul 9.30 malam dengan kekuatan 20 pegawai Imigresen.

‘’Semasa serbuan dilakukan, wanita-wanita warga asing dan pelanggan cuba untuk melarikan diri tetapi digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung oleh anggota serbuan.

‘’Modus operandi sindiket ini adalah dengan menggunakan aplikasi whatsApp / telegram bagi memancing pelanggan ke premis terbabit,’’ katanya.

Dalam serbuan itu, kata beliau seramai 16 orang wanita warga asing yang berumur antara 22 hingga 35 tahun berjaya ditahan.

‘’Mereka terdiri daripada 13 wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand.  Dua lelaki tempatan yang merupakan pekerja premis dan 5 lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di premis tersebut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,’’ katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

‘’Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,’’ katanya.