Ismail Sabri Yaakob menyantuni lima beradik yatim piatu yang kehilangan ibu akibat COVID-19 di kediaman mereka di Seri Kembangan baru-baru ini./ Gambar FB Perdana Menteri.

KISAH pilu lima beradik yatim piatu setelah kehilangan kedua ibu bapa akibat wabak COVID-19 mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Menurut Ismail Sabri, selepas program tinjauan mesra di Perumahan Awam Seri Perak, Kuala Lumpur, beliau terus ke Kota Perdana, Seri Kembangan bagi menziarahi lima beradik itu di kediaman mereka.

“Hati saya tersentuh dengan lima adik beradik iaitu Hadrami (11 tahun), Humaira (9 tahun), Harraz (8 tahun), Hawwas (6 tahun) dan Humaira (3 tahun) yang kehilangan kedua ibu bapa akibat COVID-19.

“Kelima-lima mereka kini dijaga oleh datuk, nenek serta bapa dan ibu saudara secara bergilir untuk mencurah kasih sayang kepada kelima-lima beradik ini.

“Betapa besar dugaan yang dilalui oleh Hadrami dan adik-adiknya di usia yang amat muda. Hanya Allah SWT yang mengetahui,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kisah sedih lima beradik yatim piatu selepas ibu mereka, Ida Haryanie, 38, meninggal dunia pada 7 Oktober lalu.

Bapa mereka, Mohd Nasir Tahal, 46, pula terlebih dahulu meninggal dunia pada 11 Ogos lalu ketika kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Putrajaya akibat COVID-19.

Lima beradik itu kini dijaga oleh datuk dan nenek mereka, Abdul Razak Basiron, 67, dan Intan Sulaiman, 63.

Menurut Perdana Menteri, beliau berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga, kementerian, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta masyarakat yang membantu.

“Semoga dengan usaha murni ini dapat membantu Hadrami dan adik-adiknya dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Saya akan terus beri perhatian kepada Keluarga Malaysia terutama dalam kes seumpama ini demi kelangsungan hidup terutama dari aspek pendidikan mereka,” jelasnya.

Ismail Sabri Yaakob berbual dengan datuk kepada lima beradik yatim piatu yang kehilangan ibu akibat COVID-19 ketika menziarahi mereka di Seri Kembangan, dekat ibu negara hari ini./ Gambar FB Perdana Menteri.

Baca artikel berkaitan: 33 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19 – Rina Harun

TPM santuni lapan beradik yatim piatu kehilangan ibu bapa akibat COVID-19

Sementara itu, bapa saudara lima beradik berkenaan, Ariff Hafizan dalam satu hantaran di Facebook melahirkan rasa syukur di atas pelbagai bantuan yang dihulurkan Perdana Menteri kepada anak-anak saudaranya itu terutama yang berkaitan pendidikan mereka.

“Alhamdulillah terima ziarah Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri pada jam 12 tengah hari ini. Sangat baik dan merendah diri orangnya. Kita beruntung memiliki beliau sebagai Perdana Menteri. Siap belanja anak-anak ni Mcdonalds.

“Banyak yang Perdana Menteri maklumkan untuk bantu anak-anak syurga ni. Seperti bantuan pendidikan, bantuan bulanan untuk datuk nenek dan sebagainya.

“Syukur Allah hadirkan orang hebat untuk bantu anak-anak syurga ni. Kami dah tak perlu risau lagi memikirkan tentang masa depan mereka terutamanya berkaitan pendidikan mereka.

“Terima kasih YAB Perdana Menteri,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram