Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap dua individu yang disyaki antivaksin kerana menimbulkan kegentaran awam dan fitnah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, bagi kes pertama siasatan berhubung penularan video oleh seorang wanita yang mengaitkan kematian dua murid sekolah di Ipoh, Perak akibat suntikan vaksin.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Kes juga turut disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

“Kertas siasatan juga akan dirujuk ke pengarah pendakwaan negeri dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, kes kedua pula melibatkan siasatan terhadap ciapan pemilik akaun Twitter [email protected] mengenai kematian 41 guru disebabkan suntikan vaksin.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 50(C) Kanun Keseksaan kerana dengan niat hendak mengapi apikan.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

“Kertas siasatan masih dalam tindakan pihak polis kerana menunggu laporan ‘profiling’ dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multinedia Malaysia (SKMM).

Sementara itu, Abd Jalil menasihatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggubakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihanya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.