Tangkap layar video seorang lelaki bergurau mahu mencederakan orang awam.

POLIS Brickfields membuka satu kertas siasatan berhubung video tular gurauan seorang lelaki yang mahu mencederakan orang awam sebagaimana tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Brickfileds, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 29 saat itu yang dimuatnaik oleh pemilik halaman Facebook menggunakan nama profil “Kongsi Segala Info”.

Menurutnya, klip itu didapati tular kerana memaparkan
tindakan seorang lelaki mahu mencederakan orang awam ketika sedang menaiki
eskalator di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.

“Walau bagaimanapun, tarikh dan masa kejadian sebenar video ini dirakamkan tidak dapat dipastikan buat masa ini.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video
tular ini sehingga polis selesai menjalankan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, mangsa atau mana-mana
saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan video itu dikehendakki hadir memberi keterangan.

Ujarnya, sebarang perlanggaran yang menyalahi peruntukkan undang-undang
boleh dikenakan tindakan.

Beliau menambah, maklumat lain berkaitan jenayah hendaklah disalurkan melalui Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 dan mana-mana balai polis berdekatan.