Jururawat membuat persediaan sebelum memberi suntikan vaksin COVID-19. - GAMBAR: Abd Razak Aid

KADAR pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) terus rancak berjalan walaupun negara telah berjaya mencapai prestasi memberangsangkan setakat ini.

Walaupun telah mencecah 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi, namun usaha memastikan lebih ramai divaksinasi tidak terhenti.

Sehingga semalam, peratusan dewasa lengkap vaksinasi telah pun meningkat kepada 91.5 peratus.

Lebih membanggakan, hampir semua negeri telah pun mencapai peratusan melebihi 80 peratus dewasa lengkap vaksin.

Bagaimanapun, hanya dua negeri belum mencecah paras itu iaitu Kelantan dan Sabah.

Jumlah populasi dewasa yang telah lengkap vaksin di Kelantan bagaimanapun menghampiri 80 peratus.

Sebanyak 75.1 peratus dewasa telah lengkap vaksin di Kelantan manakala 67.5 peratus di Sabah.

Sejak dilancarkan pada 24 Februari lalu, sebanyak 46.76 juta dos vaksin COVID-19 telah pun diberikan ke seluruh negara termasuk bagi vaksin dos tunggal, CanSino menerusi PICK.

Usaha itu juga telah menyaksikan lebih 22 juta individu seluruh negara melengkapkan proses vaksinasi masing-masing.

Jumlah 22.146 juta itu merangkumi 67.8 peratus populasi keseluruhan telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.

Baca artikel berkaitan: 22.03 juta lengkap divaksin, 7 juta di Lembah Klang

Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 24.715 juta individu atau 75.7 peratus keseluruhan penduduk.

Dari segi pemberian harian, jumlah dos bagaimanapun menurun di bawah paras 200,000 semalam.

Sebanyak 128,347 dos telah pun diberikan merangkumi 15,421 untuk dos pertama manakala 109,745 bagi suntikan kedua vaksin COVID-19.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 95.1 peratus.

Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, menurut JKJAV, Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 7.028 juta atau 83.5 peratus populasi.

JKJAV memberitahu, ia diikuti liputan 2.516 juta (66.6 peratus populasi) di Johor; 2.037 juta (52.1 peratus populasi) di Sabah; 1.938 juta (68.8 peratus populasi) di Sarawak dan sebanyak 1.590 juta (63.4 peratus populasi) di Perak.

Menurut JKJAV, Kedah menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 1.305 juta individu melengkapkan dua dos diikuti Pulau Pinang (1.283 juta) dan 1.011 juta di Pahang.

“Seterusnya, Kelantan berjumlah 968,286; Negeri Sembilan telah mencatatkan 833,000 lengkap dos kedua dan 752,111 di Terengganu.

“Di Melaka pula, sebanyak 629,577 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 177,369 di Perlis dan 74,097 di Labuan,” katanya menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun Twitter miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, JKJAV berkata, Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.680 juta.

Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.873 juta individu.

Ia diikuti Sabah (2.299 juta); Sarawak (2.106 juta); Perak (1.782 juta) dan Kedah (1.478 juta).

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare