ISMAIL SABRI YAAKOB

KERAJAAN tidak akan secara sengaja menyukarkan kehidupan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19, tetapi perkara itu berpunca daripada sikap mereka sendiri, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, walaupun suntikan vaksin tidak diwajibkan buat masa ini, namun ia membantu mereka yang menerimanya untuk menjalani kehidupan lebih mudah, menerusi pelbagai kelonggaran yang diberikan termasuk kebenaran merentas negeri.

“Mereka yang tidak mengambil vaksin yang menyukarkan diri sendiri, bukan kerajaan yang sengaja menyusahkan…sebab itu saya menyeru mereka yang masih belum menerima vaksin untuk berbuat demikian, supaya semua kemudahan yang diberikan turut boleh dinikmati.

“Tambahan pula, sebagai manusia kita kena bertanggungjawab membantu melindungi orang lain, dengan mengurangkan risiko jangkitan dan mengurangkan keseriusan kesan penyakit jika dijangkiti, dengan mengambil vaksin COVID-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada Deputi Superintendan, di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, hari ini.

Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Turut dinaikkan pangkat adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N.Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat Asisten Superintendan.

Baca artikel berkaitan: Enggan divaksin? Kami akan ‘menyusahkan hidup anda’ – KJ

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘terus mengenakan pelbagai kesukaran’ terhadap mereka.

Kenyataan Khairy itu, menurut Perdana Menteri adalah merujuk kepada kesukaran yang terpaksa dilalui mereka yang tidak mahu menerima vaksin, memandangkan syarat lengkap vaksin COVID-19 bukan hanya dibuat kerajaan Malaysia, namun pelbagai pihak lain.

“… seperti hanya mereka yang lengkap vaksin dibenar mengerjakan umrah dan tahun hadapan boleh menunaikan ibadah haji. Ini syarat daripada kerajaan Arab Saudi yang sudah tentu menyusahkan diri mereka yang tidak divaksin,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada lengkap dua dos vaksin akan dijadikan syarat pengambilan baharu penjawat awam, Ismail Sabri berkata walaupun ia cadangan yang baik, ia memerlukan perincian dan kajian mendalam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ia (cadangan itu) mungkin boleh dipertimbangkan, namun JPA kena lihat daripada pelbagai aspek termasuk perundangan. Setakat ini, tindakan hanya boleh diambil terhadap mereka yang sudah bekerja seperti yang ditetapkan tarikh akhir penjawat awam mengambil vaksin ialah 1 Nov ini,” katanya. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram