SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kerjasama sekiranya mempunyai maklumat mengenai pendedahan Pandora Papers.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, akan mengadakan kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi siasatan lain bagi menyiasat isu tersebut.

Katanya, ia seperti yang telah dibangkitkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen dengan mengemukakan notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Sehubungan itu, SPRM juga meminta Anwar untuk memberi kerjasama sekiranya beliau mempunyai maklumat lanjut tentang isu tersebut,” katanya dalam kenyaaan itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, polis telah menerima empat laporan berhubung pendedahan Pandora Papers.

Menurut Abd. Jalil, dua daripada laporan tersebut telah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut.

Bagi dua lagi laporan, kata beliau, polis telah pun menjalankan rakaman percakapan pengadu dengan satu telah pun dirujuk kepada BNM, Khamis lalu manakala satu lagi akan dihantar pada hari Isnin untuk siasatan lanjut.

Baca artikel berkaitan: Anwar hantar usul bahas pendedahan Pandora Papers

Kenapa Speaker pilih jadi peguam untuk orang ini? – Anwar

Media melaporkan beratus pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah dilapor menyembunyikan wang serta pelaburan mereka dalam hartanah, kapal persiaran dan aset lain sepanjang 25 tahun lalu.

Ia didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma serata dunia dikenali sebagai Pandora Papers.

Menurut pendedahan tersebut, dua individu dari Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari Malaysia.

Pendedahan itu dilakukan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram