Foto Gambar hiasan

Apabila Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri yang ke-4 negara pada 1981, antara tindakan awal yang dilakukannya ialah memperkenalkan slogan ‘Bersih, Cekap, Amanah’ (BCA). Slogan ini mendapat sambutan dan sanjungan rakyat kerana inilah kali pertamanya rakyat melihat keseriusan kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu dan integriti perkhidmatan awam.

Sebelum adanya teriakan perang (war cry) BCA ini, perkhidmatan awam berjalan rutin biasa iaitu macam ada dan tidak ada. Perkhidmatan diberikan kakitangan awam mengikut selera mereka. Proses kerja dan kelulusan yang sepatutnya mudah dan cepat menjadi susah dan memakan masa yang lama, yang sepatutnya lulus dalam beberapa hari telah memakan masa berbulan dan ada yang bertahun.

Hari ini perkhidmatan awam amat cekap. Kalau dahulu untuk mendapatkan pasport memakan masa tiga bulan tetapi hari ini sekurang-kurangnya dua jam untuk permohonan baharu atau hanya 30 minit kalau membuat pembaharuan.

Begitu juga untuk membuat kad pengenalan, surat beranak, lesen memandu dan cukai jalan sungguh cepat siapnya, jika tidak dalam kiraan minit ia dalam kiraan jam sahaja.

Tetapi dalam soal ‘bersih’ dan ‘amanah’ ini, ada sedikit kemusykilan mengenai pencapaiannya. Ia agak sukar dinilai kecuali kita mengukurnya dari sudut tidak ada atau hampir tidak adanya berita-berita tangkapan rasuah atau salah guna kuasa oleh pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam dalam akhbar-akhbar masa itu.

Memang pada mula BCA diperkenalkan, darjah integriti kakitangan awam cukup tinggi. Sehingga apabila seorang posmen kemalangan beliau telah menjadi hero negara kerana walaupun dalam kesakitan akibat luka, surat-surat dan bungkusan pos yang dibawanya tidak terlepas atau dilepaskannya, malah memautnya erat sehinggalah ia diserahkan kepada majikannya. Peristiwa ini mendapat pujian rakyat dan Dr. Mahathir sendiri.

Semasa era pemerintahan Dr. Mahathir selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003, kes-kes rasuah boleh dibilang dengan jari. Masa itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) cukup digeruni oleh orang kerajaan.

Perbuatan rasuah pula dipandang keji dan hina. Jika sesiapa yang tertangkap kerana rasuah stigma yang lekat pada diri orang itu dibawa ke mati.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir ada memberi amaran bahawa rasuah tetap berlaku walaupun beliau bertindak membanterasnya. Katanya rasuah pada masa itu berlaku di bawah meja. Ia tidak kelihatan atau diketahui jika pelakunya tidak tertangkap.

Masa itu, Perdana Menteri sudah melahirkan rasa bimbang jika perbuatan rasuah tidak dibendung ia akan berlaku secara terang-terangan di masa depan.

Dahulu ramai orang kita sering memperkecilkan jiran kita di Indonesia iaitu khususnya pada era Presiden Suharto bahawa rasuah berleluasa di sana. Katanya rasuah bukan lagi berlaku di bawah meja tetapi atas meja. Apa-apa urusan di sana ‘ditanggung beres’ jika ada ‘pelincirnya’. Itulah tanggapan ramai rakyat kita terhadap Indonesia waktu itu.

Pernah seorang rakan berwisata ke Jakarta tidak lama dulu. Sewaktu hendak pulang ke Kuala Lumpur beliau mendapati keratan kartu ketibaannya (disembarkation card) yang perlu dikembalikan kepada imigresen hilang.

Pegawai imigresen di lapangan terbang berkata beliau berkemungkinan akan ditahan. Rakan tadi mula panik. Tetapi pegawai imigresen itu dengan selamba berkata “ini bisa diatur Pak. Beri RM50 sahaja sudah boleh pulang”. Rakan itu pun mengeluarkan RM50, terus pasportnya dicop.

Tetapi sekarang tidak begitu lagi berlaku di Indonesia. Negara jiran kita sudah hebat. Mereka sebenarnya mendahului kita dalam membanteras rasuah atau di sana dipanggil korupsi. Kerajaan Indonesia telah menubuhkan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) pada 2002 dalam usahanya membebaskan negara itu daripada rasuah. Dan mereka amat berjaya kerana KPK ini bertindak tidak memilih bulu.

Dalam sejarahnya, KPK bukan hanya menangkap ‘ikan bilis’ tetapi ‘ikan jerung’ seperti menteri, pegawai tinggi polis dan tentera, ahli perniagaan terkenal dan kaya di Indonesia. Sekarang KPK digeruni semua di sana.

Sebaliknya, apa yang dulu berlaku di Indonesia sekarang berleluasa berlaku di negara kita. Bukan sahaja setakat pegawai imigresen yang mengambil rasuah, pegawai dan anggota beruniform lain seperti polis, kastam, tentera, bomba dan pihak berkuasa tempatan turut rasuah. Ini belum lagi dikira penjawat awam lain, pemungut pelbagai hasil, penggubal dan pelaksana undang-undang dan ahli perniagaan.

Yang amat mengejutkan kita akhir-akhir ini pegawai pencegah rasuah pun turut dituduh rasuah melibatkan wang berjuta-juta ringgit. Walaupun kes ini belum selesai, tuduhan ke atas pegawai-pegawai pencegah rasuah ini sungguh memalukan kita dan negara. Sehingga ramai yang menuding ‘harapkan pagar, pagar makan padi’.

Integriti pihak berkuasa, institusi kerajaan dan negara kita terpalit rosak kerananya.
Kes-kes rasuah di negara kita kini menjadi santapan media hampir saban hari. Kes-kes perbicaraan rasuah yang melibatkan penjawat awam, menteri, menteri besar, timbalan perdana menteri dan perdana menteri sudah bertahun dilaporkan oleh media kita.

Masyarakat kita kelihatan seperti sudah mungli dengan berita-berita sedemikian, seperti mungkin sudah menerima hakikat Malaysia memang sebuah negara korup.

Seperti penyakit Covid-19, rasuah juga ibarat pandemik apabila pada mulanya banyak kes rasuah yang melibatkan wang tunai puluhan dan ratusan juta ringgit disorok di rumah-rumah tiba-tiba terbongkar. Rakyat hairan dari mana datangnya duit sebanyak itu.

Tetapi akhirnya seperti kes Covid-19 juga, rasuah menjadi endemik dalam masyarakat kita. Kes-kes rasuah sudah menjadi perkara biasa dan tidak lagi menghairankan serta ia ‘diterima’ sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat dan negara kita. Ia tidak lagi menjadi stigma kepada pelakunya dan tidak lagi dipandang keji dan hina!

*Penulis merupakan mantan Ketua Pengarang Bernama 2014-2019. Mula menyertai Bernama sebagai wartawan pada 1980. Berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1992 hingga 2003 sebagai Penolong Setiausaha Akhbar dan kemudian Setiausaha Akhbar.

Pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Biro Bernama Pulau Pinang, Sarawak dan Koresponden Singapura selain sebagai Pengarah Eksekutif anak syarikat teknologi maklumat Bernama Systems and Solutions Advisor (Bessar) yang kini dipanggil UXERA.