ANALISIS

KATA Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi;

‘’Senarai calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15 diputuskan oleh tiga pemimpin tertinggi parti itu, bukan lagi oleh Presiden sahaja.’’

Tiga orang yang dimaksudkan ialah beliau sendiri sebagai Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang menarik beliau berkata, ‘’Namun jika ketiga-tiga mereka ini bersetuju tetapi tidak dipersetujui oleh Pengerusi BN, maka watikah itu tidak akan ditandatangani.’’ – yang diiringi dengan senyuman

Kenyataan Ahmad Zahid  yang dilaporkan oleh media membuatkan ramai tersenyum dan ada juga tertanya-tanya.

Kenapa tersenyum? Sebab bukankah beliau juga adalah Pengerusi BN dan ada yang bertanya, adakah Ahmad Zahid hanya akan menjadi Presiden UMNO manakala Pengerusi BN akan dipegang oleh individu lain.

Kalau Pengerusi BN itu betul lah akan disandang orang lain, bolehlah Ahmad Zahid bercakap demikian tetapi kalau Pengerusi BN adalah beliau sendiri yang juga Presiden UMNO, ‘lawak seram’ apa yang Ahli Parlimen Bagan Datuk ‘mahu persembahkan’?

Tetapi kalau Ahmad Zahid mahu menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada orang lain pun ok juga sebab sebelum ini ketika pencalonan untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin, Ahmad Zahid berkata, tidak terlintas untuk menamakan diri beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Jadi kenalah cari orang yang ada hasrat dan paling penting mempunyai material untuk menjadi Perdana Menteri sebagai persiapan jika UMNO menang besar dalam PRU-15 nanti.

Mungkinkah demi rakyat dan negara serta UMNO, Ahmad Zahid mahu menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada Ismail Sabri memandangkan Ahli Parlimen Bera itu sudahpun menjadi Perdana Menteri?

Seperkara lagi, apakah mungkin Ahmad Zahid sedar beliau sudah tidak sesuai lagi untuk memegang dua jawatan memandang masalah sakit belakang dan leher yang dihadapinya. Beliau akan mendapat rawatan dengan pakar terkemuka di Munich, Jerman tidak lama lagi.

Justeru dengan menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada individu lain kuranglah sikit bebanan beliau. Betul tak?

Atau adakah Ahmad Zahid mahu memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya kerana sekarang ini beliau terpaksa berulang alik bagi menghadiri perbicaraan, itupun sikit sebanyak boleh menjejaskan tumpuan beliau kepada urusan parti?

Apapun hanya Ahmad Zahid lebih memahami apa yang beliau maksudkan dengan ayat, ‘’ ’Namun jika ketiga-tiga mereka ini bersetuju tetapi tidak dipersetujui oleh Pengerusi BN, maka watikah itu tidak akan ditandatangani.’’

Macam-macam andaian boleh buat. Sama-samalah kita tunggu kalau-kalau ada penjelasan lanjut daripada beliau. Jadi buat sementara ini, kalau sesiapa yang baca kenyataan Ahmad Zahid itu nak senyum atau ketawa…silakan….maklumlah tak tahu reaksi apa nak bagi…