SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menyasarkan seramai 70 peratus pengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan keluar mengundi pada 20 November depan.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, sasaran 70 peratus itu adalah daripada seramai 495,196 pengundi dalam daftar pemilih yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu.

Menurut beliau, daftar pemilih tersebut mengandungi 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis serta 106 lagi pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Pada masa sama, Abdul Ghani berkata, SPR juga akan meneruskan penambahbaikan termasuk menyediakan saluran khusus bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas di setiap pusat mengundi.

Selain itu, kata beliau, tempoh masa pengundian akan dipanjangkan selama 30 minit iaitu dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Pengundi-pengundi orang kurang upaya (OKU) pula akan mengundi di Saluran 1 dengan SPR telah mengenal pasti seramai 12,712 pengundi OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Garis panduan pencegahan COVID-19 bagi tujuan PRN Melaka akan berpandukan kepada pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari semasa ke semasa,” katanya.

Baca artikel berkaitan: PRN Melaka 20 November, penamaan calon 8 November

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas pelaksanaan PRN Melaka, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani berkata, seramai 12,290 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN Melaka nanti.

Beliau berkata, sebanyak 217 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 1,109 tempat mengundi atau saluran dan 31 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 47 tempat saluran awal akan digunakan.

Katanya, keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 248 buah dengan 1,156 tempat mengundi.

“PRN Melaka ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM46 juta.

“Semua 217 buah pusat mengundi biasa pada hari mengundi dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang manakala 21 pusat mengundi awal dibuka dari pukul 8 pagi hingga 2 petang.

“Baki 10 buah pusat mengundi awal pula akan dibuka dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram