Orang ramai mengisi air ke dalam tong bagi persediaan berikutan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang baru-baru ini. - GAMBAR: Abd Razak Aid

BELUM PUN beberapa hari bekalan air di Selangor pulih selepas terganggu kerana memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf, pembaikan dan sebagainya, kini penduduk Sepang dan Kuala Langat sekali lagi terpaksa menghadap masalah yang sama.

Mulai malam ini, sebanyak 145 kawasan di Sepang dan 11 lagi di Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah di Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah menutup bekalan air pada 9 malam tadi bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar.

Menurut Air Selangor, pihaknya akan menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Selain itu, pengguna turut dinasihatkan untuk mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori tangki yang tiba.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini di laman sesawang www.airselangor.com dan saluran komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram, selain pertanyaan dan aduan juga boleh disalurkan di talian 15300 atau Pusat Bantuan di aplikasi Air Selangor. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram