PENULARAN kes harian COVID-19 terus berada pada paras empat angka buat hari ke-17 selepas mula mencatatkan penurunan ketara awal bulan ini.

Walaupun merekodkan sedikit peningkatan, namun kes yang dicatatkan hari ini kekal berada di bawah 6,000 jangkitan.

Sebanyak 5,745 kes baharu telah dilaporkan di seluruh negara setakat tengah hari tadi.

Semalam, 5,434 penularan direkodkan yang juga merupakan kadar terendah dalam tempoh 112 hari lalu.

Kali terakhir negara merekodkan kes harian lebih rendah daripada semalam adalah pada 28 Jun lalu apabila sebanyak 5,218 jangkitan dilaporkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kumulatif jangkitan COVID-19 di Malaysia kini berjumlah 2.401 juta.

“Sehingga 19 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 5,745 kes (2,401,866 kes).

“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya dalam media sosial, hari ini.

Baca artikel berkaitan: 5,434 kes baharu, kadar terendah dalam tempoh 112 hari

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, kadar positif jangkitan berdasarkan jumlah saringan yang dilakukan hari ini adalah 3.77 peratus.

Kata beliau, jumlah berkenaan adalah daripada 152,478 ujian saringan yang dijalankan.

Dr. Noor Hisham memaklumkan, kadar positiviti menurun ketara berbanding antara lima ke enam peratus yang direkodkan sepanjang minggu ini.

“Kesedaran orang ramai amat penting untuk dapatkan vaksin, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan jalankan ujian RTK-Antigen berkala,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram