Kerja-kerja baik pulih paip pecah telah siap sepenuhnya pukul 2 petang tadi. GAMBAR: Facebook Air Selangor

KERJA-kerja kecemasan bagi membaiki paip pecah yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 156 kawasan di Sepang dan Kuala Langat siap lebih awal daripada jadual.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), kerja pembaikan paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang itu telah siap dilaksanakan pada pukul 2 petang tadi, cepat empat jam daripada jadual.

Berdasarkan kenyataan Air Selangor pagi tadi, kerja baik pulih paip pecah itu dijangka siap sepenuhnya menjelang pukul 6 petang.

Air Selangor memaklumkan, bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna pada pukul 2.30 petang tadi secara berperingkat ke 145 kawasan di Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat setelah kerja-kerja siap dilaksanakan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 10 pagi, esok.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bekalan air 156 kawasan Lembah Klang disalur petang ini

Mengulas lanjut, Air Selangor memberitahu, syarikat itu terus menggerakkan bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Katanya, pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor; Facebook; Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat insiden dari semasa ke semasa.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dalam laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya.

Pengguna di 156 kawasan Sepang dan Kuala Langat berhadapan dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sejak malam tadi ekoran insiden paip pecah di Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang.

Air Selangor memaklumkan, bekalan air telah ditutup pada pukul 9 malam tadi bagi memastikan kerja-kerja pembaikan berjalan lancar.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram