dakwah nabi ke thaif

Nun 85 kilometer jauhnya daripada kota  Mekah, terletak satu impian sekali gus meletakkan 1001 harapan. Di situ langkah diatur setelah banyak halangan ditempuh namun agama wahyu yang dibawa terus-terusan mendapat tentangan.

Kehilangan tiga orang penting dalam perjalanan dakwahnya,  Abdul Mutalib,  Abu Talib dan Saidatina  Khadijah  r.ha,  Nabi Muhammad s.a.w bersama beberapa orang sahabat mengambil keputusan untuk menyebarkan dakwah Islamnya ke kota Thaif. 

Tiga pemimpin daripada Bani Abd Yalayl, Mas’ud dan Habib Banu ‘Amru bin ‘Umayr  diletakkan harapan,  sinar Islam menjadi medan perjuangannya menegakkan kalimah tauhid.

Namun di sebalik pengharapan serta kebergantungan yang tinggi kepada Allah dalam merealisasikan impian,  agar kota Thaif disimbah dengan cahaya Islam, Rasulullah s.a.w. akhirnya tunduk mengadu kepada Allah.

Wahai Tuhanku! kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku serta kekurangan upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhanku! kepada siapa Engkau serahkan diriku? Kepada musuh yang akan menerkam aku atau kepada keluarga yang simpati terhadapku.

Tidak keberatan bagiku asal aku dalam keredaan Mu. Aku berlindung dengan cahaya mukaku yang mulia yang menyinari langit dan yang menerangi kegelapan di mana teraturnya urusan dunia dan akhirat. Jika Engkau menimpakan atasku kemarahan Mu atau daripada Engkau turunkan azab kepada Engkaulah aku adukan masalah sehingga Engkau reda. Tidak ada daya dan upaya melainkan Engkau.”

Begitu rintihan Rasulullah s.a.w. tatkala Baginda berhenti berehat seketika dengan ditemani oleh Zaid bin Harithah di kebun anggur milik dua sahabat yang bernama ‘Utbah bin Rabi’ah dan Shaybah bin Rabi’ah.   

Mungkin tiada siapa yang akan menyangka,  sekalipun diangkat sebagai kekasih Allah, namun ujian Allah tetap merobek hati sang kekasih. Bukan tidak reda dengan apa yang telah ditetapkan sebaliknya dalam rintihan itu, masih ada pengharapan agar usaha-usaha dakwah yang dijalankan dimudahkan. Hanya itu!   

Itu yang membezakan kita dengan Rasulullah s.a.w.  yang dianugerahkan dengan kesabaran yang  tinggi sekalipun dilontar dengan batu tanpa belas kasihan oleh penduduk  Thaif  hanya  kerana dua permintaan, membantu Islam dan bersama-sama Nabi untuk menentang puak yang menentang Islam.

Ternyata rintihan yang mengusik hati, bersambut.  Jibril a.s. diutuskan Allah untuk apa sahaja permintaan Baginda s.a.w. Jibril berkata,

Dakwah Baginda ke Tahif tidak disenangi penduduknya malah mereka bertindak biadap dengan membaling batu kepada Nabi s.a.w. dan para sahabat.

“Allah telah mengetahui apa yang kamu alami dan Allah telah menyediakan gunung-ganang untuk melakukan apa sahaja atas perintah daripada kamu.

 “Wahai Rasulullah! aku bersedia untuk menjalankan apa yang tuan perintahkan.  Jika tuan mahu aku lagakan gunung-ganang itu sehingga penduduk di sana mati tertimbus, aku akan laksanakan, tetapi jika tidak maka tuan cadangkan apakah balasan yang selayaknya mereka terima.”

Nabi diam sejenak. Kesakitan dilontar batu sehingga mengakibatkan kecederaan parah di buku lali sedang Zaid pula cedera di kepala, bukan alasan untuk Baginda meminta Jibril a.s. menghapuskan penduduk Thaif. 

Masih ada sisa pengharapan, suatu hari nanti, keadaan itu akan berubah.   

“Walaupun mereka tidak mahu menerima Islam tetapi aku yakin pada suatu hari nanti anak cucu mereka akan menyembah Allah. Janganlah hukum mereka.” Jawapan yang sudah tentu memeranjatkan Jibril a.s. 

Ganjaran Di Sebalik Kesabaran

Pulangnya Nabi s.a.w. bersama Zaid ke kota Mekah bukan kerana putus asa. Jauh sekali memendam dendam. Di sebalik kebergantungan pengharapan yang tinggi kepada Allah,  serta sabar dalam perjuangan, ada ganjaran yang Allah sediakan untuk hamba-Nya itu. 

Seusai solat tahajud, tatkala berhenti di suatu tempat bernama Nakhlah,  ganjaran kesabaran Nabi s.a.w. dibalas dengan kemasukan sekumpulan jin untuk menerima Islam.  

Hal ini disebut dalam surah al-Ahqaf ayat 29,

“Dan (ingatlah peristiwa) semasa kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (sesetengahnya kepada yang lain):

Setiap kesabaran Allah berikan ganjaran

“Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!”

kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.”

Ternyata dalam kesusahan ada kesenangan. Dan hal ini diulang oleh Allah sebanyak tiga kali dalam surah al-Insyirah.

Bukan itu sahaja, bagi menggembirakan hati sang kekasih, Rasulullah s.a.w. turut diangkat ke langit dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Peristiwa bersejarah itu satu kegembiraan yang jauh lagi besar jika hendak dibandingkan dengan segala kedukaan yang pernah dialami Nabi s.a.w.

Ibrah Dari al-Thaif

Kalau kita semak kembali jalan sirah junjungan mulia Muhammad s.a.w. yang penuh liku, pasti banyak perkara yang dapat kita ambil pengajaran daripadanya. Meskipun berat ujian yang kita hadapi, namun berat lagi apa yang telah dihadapi oleh Nabi s.a.w. dalam menegakkan agama Allah, hingga sampai kepada kita hari ini.

Namun kita hari ini, apabila dijentik sedikit oleh Allah dengan ujian yang tidak seberapa, terus sahaja mengeluh

Alangkah beratnya..alangkah banyak rintangan..alangkah berbilang sandungan..alangkah rumitnya..”

Saat diri tidak mampu lagi untuk berdiri, terasa seluruh tubuh lemah dan longlai, seakan ingin menamatkannya secepat mungkin, mencari penyelesaian semudah cara bagaimana sekalipun.

Itulah sikap manusia, jika tiada iman di dada, pasti sudah kalah dengan nafsu dan syaitan. Pernahkah terfikir, bagaimana sikap kekasih kita, Muhammad s.a.w tatkala diuji? Apakah halangan yang dihadapi melemahkannya?

Andai itu yang dirasai Nabi, pasti Islam tiada atas muka bumi. Andai tidak kuat, Nabi pasti sudah berhenti ikhtiar tatkala hadangan kunjung tiba. Mungkin saat dalam rukuknya dia dijerat di bahagian leher, mungkin saat dia sujud lalu kepalanya disiram isi perut unta, mungkin juga saat beliau bangkit dari duduk, lalu dahinya disambar batu, mungkin ketika beliau dikata gila, penyair, dukun, tukang sihir, atau mungkin saat bapa saudaranya Abi Talib dan isteri kesayangan Siti Khadijah meninggal.

Jika saat kesemua duka yang dialaminya itu Nabi kita berhenti dari ikhtiar menyampaian dakwah, pasti kita hari ini hidup tanpa nikmat iman dan Islam.

Bukan Nabi tidak pernah kecewa, bukan Nabi tidak pernah merasa lemah, kesemua itu pernah dirasainya, namun Nabi masih lagi meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah.

Seharusnya umat Islam pada hari ini perlu merintis kembali jalan dakwah Nabi bagi mendapatkan kekuatan dalam diri saat diuji.

Lihat sahaja ketabahan Nabi s.a.w. meskipun diuji oleh Allah dengan kematian kedua insan yang paling disayanginya, namun usaha dakwah Baginda tetap berjalan seperti biasa.

Walau diuji dengan pelbagai ujian dan cabaran namun Baginda tetap teguh menghadapinya dan sifat inilah yang wajar kita contohi

Nabi s.a.w. begitu komited sehingga dapat mengasingkan masalah peribadi yang dialami dan juga tugasnya selaku nabi akhir zaman.

Sikap Nabi yang meletakkan pergantungan hanya kepada Allah, saat diuji sepatutnya dicontohi umat masa kini. Apa pun yang dialaminya, Baginda mengadu hanya kepada kekasihnya, Allah.

Baginda yakin, setiap yang berlaku, adalah kerana Allah dan pasti ada hikmahnya.

Lihatlah betapa indahnya akhlak, dan peribadi Nabi s.a.w. saat Baginda memaafkan kesalahan pemimpin dan penduduk Bani Thaqif di kota Thaif. Walaupun ketika itu, malaikat Jibril menawarkan bantuan dan bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka, namun Nabi menolak pelawaan tersebut.

Penolakan itu berserta dengan keyakinan suatu hari nanti akan ada keturunan daripada penduduk Thaif yang menyembah Allah. Sangkaan baik Rasulullah s.a.w , berbalas apabila salah seorangnya, menjadi orang yang cukup berjasa dalam memelihara  segala tinggalan Rasulullah s.a.w. 

Siapa lagi kalau tidak Abu Hurairah r.a. yang banyak meriwayatkan serta mengumpul hadis daripada Rasulullah s.a.w. sekaligus sunnah itu terus hidup dan sampai kepada kita pada hari ini. Sesuatu  yang perlu difahami  dan difikirkan,  Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia sebaliknya Allah mengetahui rahmat di sebalik kejadian. Ternyata, benarlah kata Allah, apa yang kita sangka buruk sebenarnya baik di sisi Allah. Wallahu a’lam

_____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare