Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang GAMBAR: Abd Razak Aid

ISU melibatkan pesawat Tentera Udara Singapura terbang rendah di ruang udara daerah Pasir Gudang, Johor sejak awal Oktober lalu seperti didakwa Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bukan pencerobohan ruang angkasa oleh negara jiran.

Sebaliknya, Panglima Angkata Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan bahawa pesawat tentera udara negara jiran itu merupakan sebahagian daripada aset yang terlibat dalam latihan ketenteraan.

Menurut beliau, latihan ketenteraan pelbagai hala itu melibatkan negara-negara anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Affendi berkata, latihan ketenteraan yang dikenali sebagai Eksesais BERSAMA GOLD 2021 itu dianjurkan Malaysia mulai 8 hingga 18 Oktober lalu.

“Ia disertai oleh negara-negara anggota FPDA iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom (UK) bersempena Sambutan 50 tahun FPDA serta terlibat di acara terbang lintas pada 21 Oktober 2021.

“Sepanjang latihan, semua pesawat tentera negara-negara anggota FPDA iaitu Australia, New Zealand dan UK telah ditempatkan di Singapura.

“Pesawat kepunyaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula beroperasi dari Pangkalan Udara di Malaysia menyebabkan peningkatan trafik udara di sekitar ruang udara negara khususnya di selatan Johor berhampiran Pasir Gudang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Semua anak anggota ATM terima sekurang-kurangnya satu dos vaksin

Mengulas lanjut, Affendi berkata, penerbangan pesawat-pesawat itu juga telah mendapat kelulusan diplomatik bagi tujuan latihan tersebut dan kawasan ruang udara Pasir Gudang merupakan laluan penerbangan yang dibenarkan sewaktu latihan berkenaan berlangsung.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyarankan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan sebarang kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat Malaysia amnya dan rakyat Johor khasnya,” jelas beliau.

Terdahulu, Hassan menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kejadian pencerobohan ruang angkasa Malaysia oleh pesawat Singapura yang semakin kerap kebelakangan ini.

Menurut Hassan, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai pesawat tentera udara Singapura yang terbang rendah di sekitar kawasan berkenaan yang bukan sahaja menimbulkan gangguan malah kebimbangan.

Katanya, kekerapan pesawat tentera republik itu menceroboh ruang udara negara ini juga menimbulkan persoalan kerana semakin meningkat sejak awal bulan ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare