Anwar Ibrahim

PAKATAN Harapan (PH) akan membincangkan kedudukan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri itu, sama ada diterima bertanding di bawah tiket PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada mesyuarat petang ini.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya juga mengambil maklum rasa tidak senang beberapa pihak sekiranya keempat-empat bekas ADUN itu termasuk ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menjadi calon mewakili gabungan parti pembangkang itu dalam PRN Melaka 20 November ini.

“Apa-apa pun kita akan bincang dalam mesyuarat petang ini,” katanya selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul Parlimen Port Dickson hari ini.

Mengenai langkah PKR menjemput keempat-empat ADUN berkenaan pada majlis taklimat bersama Presiden PKR, Isnin lalu di Melaka, Anwar berkata, ia sekadar bagi mengucapkan terima kasih atas langkah mereka membawa perubahan di Melaka.

Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti memutuskan Norhizam tiada tempat dalam mana-mana parti komponen PH dan menolaknya sebagai calon pada PRN Melaka.

Baca artikel berkaitan: PRN Melaka makin dekat, UMNO masih belum putuskan ‘bersendiri atau bersekutu’

Pada 10 Mac tahun lalu, DAP memecat Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka selepas beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri baharu di bawah Perikatan Nasional.

Norhizam, bekas ADUN Bebas-Pengkalan Batu adalah antara empat ADUN yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 4 Okt selain Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare