Sampah sarap yang dibuang dalam sungai hingga mencetuskan rasa kesal Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. GAMBAR: Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutama pada musim hujan di kawasan Bandar Raya Johor Bahru.

Sultan Ibrahim bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat melanda kawasan bandar raya bulan lalu berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah-sarap dan sisa binaan.

Titah Sultan Johor, masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahu pun sungai.

Sultan Ibrahim bertitah, perbuatan tidak bertanggungjawab itu kelak menyumbang kepada berlakunya banjir.

“Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

“Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam Osman, terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan,” titah Sultan Johor dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook rasmi baginda, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Sultan Johor titah rangka pelan pembangunan pelancongan sistematik

Laporan dan gambar-gambar hasil siasatan MBHB dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim oleh Noorazam di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru, baru-baru ini.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di Johor.

Sementara itu, Noorazam memberitahu pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terlibat dengan membersihkan halangan dalam parit, longkang serta saliran utama.

“MBJB memperuntukkan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun. Sikap segelintir rakyat kita amat dikesali.

“Saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi hotspot banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif melibatkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare