Ladang angin luar pesisir Blyth. GAMBAR: Ihsan TNB

SYARIKAT milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Vantage RE Ltd. (Vantage RE) telah menandatangani perjanjian pembelian saham (SPA) untuk memperoleh 49 peratus pegangan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL).

Pemerolehan pegangan saham BODL itu adalah daripada EDF Renewables (EDFR) iaitu sebuah subsidiari syarikat utiliti Perancis, Electricite de France (EDF).

Vantage RE dilancarkan pada 1 Julai lalu untuk memiliki, mengendalikan dan mengurus portfolio aset tenaga boleh diperbaharui (RE) TNB di Eropah.

Pemerolehan itu menandakan penyertaan sulung TNB dalam pasaran ladang angin luar pesisir berikutan pemilikan aset angin BODL di perairan Blyth, Northumberland, England.

Aset itu merangkumi lima turbin angin dengan kapasiti penjanaan sebanyak 41.5 megawatt (MW) (Blyth 1) dan hak pembangunan lanjut projek turbin angin terapung (Blyth 2) sehingga 58.4 MW yang terletak berhampiran pantai Northumberland.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemerolehan itu adalah satu daripada perancangan pemerolehan strategik oleh TNB untuk memesatkan usaha mencapai visi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Kata beliau, TNB telah mengumumkan Hala Tuju Kelestarian iaitu satu rangka tindakan dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Baca artikel berkaitan: TNB seimbangkan kepentingan industri, pulangan setimpal kepada rakyat

“Hala tuju ini dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan TNB sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din. GAMBAR: Abd Razak Aid

“TNB seperti juga EDFR berkongsi aspirasi untuk terus memacu pembangunan lestari bagi pihak berkepentingan dengan menyalurkan bekalan tenaga yang berdaya harap dan mampu milik; melakukan inovasi serta peralihan tenaga serta menyediakan generasi masa depan dengan keupayaan untuk hidup dalam suasana ekonomi, alam sekitar dan sosial yang sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, TNB menyasarkan untuk menambah kapasiti penjanaan RE kepada 8,300 MW menjelang 2025.

Jelas beliau, TNB yakin kerjasama itu memberi kelebihan kepada kami dalam industri yang semakin kompetitif berikutan usaha kami untuk meningkatkan portfolio penjanaan RE global dan mengukuhkan kedudukan TNB dalam landskap tenaga masa hadapan.

“Kerjasama ini juga membolehkan TNB untuk memanfaatkan pengalaman luas EDFR dalam sektor ladang angin luar pesisir di seluruh fokus pasaran TNB terutama di United Kingdom (UK), Eropah dan Asia Tenggara.

“Ia bukan sahaja menetapkan rentak pertumbuhan Vantage RE di UK dan Eropah, malah memberi laluan yang kukuh buat TNB untuk mempercepatkan cita-citanya bagi menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & TelegramFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare