JIKA anda peminat siri animasi Shrek, ramai mengatakan watak raksasa hijau dalam siri animasi tersebut diilhamkan dari seorang lelaki bernama Maurice Tillet.

Walaupun pihak DreamWorks tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tentang dakwaan itu, tetapi ramai mengaitkan Maurice menjadi sumber inpirasi kepada watak Shrek, apatah lagi melihat persamaan mereka.

Maurice dikatakan inspirasi kepada watak Shrek.

Siapa sebenarnya Maurice Tillet?

Lelaki ini lahir di Rusia pada tahun 1903. Ibu dan ayahnya orang Perancis. Ayahnya meninggal semasa Maurice masih kecil, dan Maurice adalah anak tunggal. Pada 1917, dia dan ibunya berpindah semula ke Perancis.

Maurice lahir normal seperti kanak-kanak lain. Semuanya nampak sempurna sehinggalah ketika dia berusia 17 tahun, tulang-temulangnya mula membesar dalam keadaan yang luar biasa.

Maurice sewaktu berusia 13 tahun, normal seperti kanak-kanak lain.

Akibatnya, dada Maurice kelihatan menggelembung. Kepalanya membesar. Begitu juga dengan lengan dan jari-jemari. Semuanya membonjol menyebabkan dia nampak hodoh dan menakutkan.

Pemeriksaan doktor sewaktu Maurice berusia 20 tahun mengesahkan dia menghidap acromegaly, sejenis penyakit luar biasa yang mengakibatkan tulang-temulang tumbuh di luar kawalan. Penyakit ini berupa gangguan hormon apabila kelenjar pituitari menghasilkan hormon pertumbuhan terlalu banyak dari yang normal.

Penyakit itu telah mengubah fizikal Maurice. Daripada seorang pemuda tampan dan segak, dia bertukar menjadi aneh. Orang ramai menggelarnya dengan pelbagai julukan antaranya ‘raksasa’, menyebabkan Maurice sering  berkurung di dalam rumah kerana malu.

Fizikal Maurice berubah apabila diserang penyakit tersebut.

Pun begitu, Maurice bukan calang-calang orangnya. Dia pernah berkhidmat dengan pasukan tentera laut Perancis sebagai jurutera. Maurice juga mempunyai ijazah guaman, tetapi dia merasakan tidak akan berjaya dalam bidang yang dipelajarinya itu kerana kelainan fizikalnya. Maurice juga pernah melibatkan diri sebagai pelakon dan sukan ragbi.

Kehidupannya berubah  setelah bertemu dengan Karl Pajello, seorang penggusti professional yang mencadangkan agar beliau menceburkan diri dalam sukan gusti pada tahun 1937.

Atas bimbingan Karl yang juga bertindak sebagai pengurus, kerjaya baru itu membuahkan kejayaan besar. Maurice memulakan langkah dalam bidang gusti di Perancis dan England. Setelah Perang Dunia ke-2 meletus, dia berhijrah ke Amerika Syarikat.

Kerjaya sebagai penggusti menaikkan nama Maurice.

Namanya sebagai penggusti kian terkenal di benua Eropah. Penampilan yang menggerunkan dan kehandalannya di dalam gelanggang membuatkan nama Maurice naik mendadak. Di arena gusti, Maurice dikenali dengan jolokan ‘The French Angel’.

Kemuncak kerjaya Maurice ialah pada 1 Ogos 1944 apabila menjadi juara dunia American Wrestling Association dengan menumpaskan Steve ‘Crusher’ Casey.

Namun kesihatan Maurice mula merosot pada tahun 1945. Tarikh 14 Februari 1953 menjadi perlawanan gusti terakhirnya yang berlangsung di Singapura. Maurice kalah dalam perlawanan itu dan terus bersara dari dunia gusti.

Meninggal Dunia 13 Jam Setelah Kematian Sahabatnya

Biarpun namanya terkenal, tetapi penampilannya yang menakutkan itu menyebabkan Maurice hidup kesepian. Tidak ramai mahu berkawan dengannya. Setelah bersara dari arena gusti, Maurice tinggal bersama di rumah Karl dan isterinya, Olga.

Karl Pajello bukan saja orang yang bertanggungjawab membawa Maurice ke arena gusti dan menjadi pengurusnya, bahkan juga menjadi rakan karib Maurice. Apabila Karl meninggal dunia pada 4 September 1954 kerana kanser pada pukul 9.43 pagi, Maurice terlalu sedih dengan kehilangan sahabatnya itu.

Hanya 13 jam setelah Karl meninggal, Maurice mengikut jejak langkah sahabatnya itu apabila dia meninggal dunia pada pukul 11.00 malam, tarikh yang sama. Kedua-dua mereka disemadikan bersebelahan di perkuburan di Illinios.

Persahabatan yang erat antara Maurice dan Karl sehingga mereka meninggal dunia hanya berjarak 13 jam, dan dikuburkan bersebelahan.

Keanehan Patung Wajah Maurice

Semasa penghujung hayatnya, Maurice hanya mempunyai beberapa orang kawan baik sahaja. Selain Karl, salah seorang sahabatnya ialah ahli perniagaan bernama Patrick Kelly.

Maurice sering mengunjungi rumah Patrick di Massachusetts untuk bermain catur. Selalunya mereka bermain catur di dalam bilik bacaan. Ketika bermain, Maurice selalu mengeluh kepada Patrick, betapa dirinya tertekan, sepi dan terasing kerana terperangkap dalam tubuh yang menakutkan.

Beberapa jam sebelum meninggal dunia, Bobby Managoff iaitu seorang penggusti professional telah meminta kebenaran Maurice untuk membuat patung wajahnya.

Patung wajah Maurice yang mengikut saiz sebenar kepala penggusti itu.

Maurice bersetuju lalu Bobby membuat tiga patung muka penggusti tersebut (ada yang mengatakan 4 buah). Sebuah diberi kepada penggusti terkenal, Milo Steinborn, sebuah kepada Patrick, manakala sebuah lagi disumbangkan kepada Muzium Gusti Antarabangsa di Iowa.

Apakah keanehan kisah patung wajah Maurice ini?

Ia berlaku pada 1980, iaitu kira-kira 25 tahun selepas kematian Maurice, apabila Patrick memasukkan pengaturcaraan permainan catur ke dalam komputernya yang diletakkan di dalam bilik bacaan. Sejak hari itu, Patrick sering meluangkan masa tuanya dengan berlawan catur dengan pengatur cara tersebut.

Suatu malam, Patrick melihat buah catur di dalam sistem komputernya terpasang. Kemudian apabila mereka berlawan, buah catur bergerak mengikut corak permainan yang diasaskan oleh pakar catur Perancis pada abad ke-18.

Ketika itu Patrick tidak mengesyaki apa-apa, dia terus berlawan dengan program tersebut.

Namun selepas habis bermain, Patrick terperanjat apabila menyedari bahawa komputer itu sebenarnya terpasang sendiri. Suisnya tidak dihidupkan, malah wayarnya tidak dipasang pada soket.

Beberapa minggu kemudian, sekali lagi Patrick terkejut apabila melihat pengatur cara catur terpasang di komputer yang tidak disambung ke mana-mana kuasa elektrik. Beberapa jurutera elektronik yang dipanggil tidak dapat memberikan sebarang penjelasan kerana mereka tidak menemui sebarang masalah pada komputer Patrick.

Setelah banyak kali kejadian aneh itu berulang, akhirnya Maurice mendapat jawapannya. Semua ini berlaku apabila beliau mendekatkan patung wajah Maurice berhampiran dengan komputernya. Cara gerakan abad ke-18 Perancis pula adalah corak permainan yang paling digemari oleh Maurice semasa hidupnya dulu.

Persoalan sekarang, adakah terdapat sesuatu yang pelik pada patung muka Maurice yang disimpan oleh Patrick itu? Tiada. Ujian X-ray yang dilakukan mendapati ia seratus peratus plastik. Jadi, mengapa kejadian aneh ini berlaku?

“Dahulu Maurice hidup tertekan. Mungkin sekarang dia mahu meluangkan masanya dengan melakukan sesuatu yang paling disukai dengan orang yang paling akrab dengannya,” jawab Patrick apabila diajukan soalan tersebut.

Patrick kemudian mendermakan patung wajah Maurice itu kepada Warren Anatomical Museum di Harvard pada 2006.

________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare