PENYANYI Hael Husaini kembali menyajikan single terbaharunya berjudul Kelentang-Kelentong hasil kerjasama dengan komposer popular, Ezra Kong dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd.

Meskipun sibuk dengan menyiapkan 10 buah lagu untuk album sulung, namun Hael masih berkesempatan menghasilkan single istimewa itu bersempena peralihan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari Fasa 1 ke 2 dan terkini, peralihan ke Fasa 3.

“Alhamdulillah, syukur dan syabas buat kita rakyat Malaysia kerana berjaya menangani masalah pandemik COVID-19 sebaik mungkin. Walaupun perjalanan kita masih jauh, namun saya positif dengan situasi norma baharu tatkala fasa endemik menyusul.

“Sejajar dengan itu, saya mengambil kesempatan untuk menghasilkan sebuah single bagi meraikan peralihan itu dengan lagu yang menggambarkan perasaan rakyat Malaysia secara amnya.

“Sebenarnya ilham lagu ini tercetus secara tak sengaja selepas saya muncul di sebuah rancangan hiburan di Indonesia pada tahun lepas. Ketika itu, saya diminta untuk menyanyikan secara spontan berkenaan kuali. Jadi Kelentang-Kelentong itu adalah signifikasi terhadap bunyi ketukan kuali.

“Sekembalinya ke Malaysia, saya menghubungi Ezra dan kami terus berbincang. Saya menyimpan lagu ini terlebih dulu kerana masanya belum sesuai untuk diterbitkan sehinggalah kini,” katanya kepada URTV.

Kelentang-Kelentong dalam masyarakat Malaysia banyak signifikansinya, ia bukanlah sekadar ‘tin kosong’ yang berbunyi atau keadaan riuh-rendah semata-mata secara lazimnya.

Namun Hael mempunyai interpretasi sendiri, katanya, “Jalan cerita lagu ini telah diubah lebih sesuai dengan situasi terkini di negara kita yang telah membenarkan gelembung pelancongan terhadap beberapa destinasi dalam negeri dan juga kebenaran merentas negeri.

“Ianya sebuah lagu yang mengajak kita untuk pergi berjalan atau melancong ke mana sahaja yang dibenarkan oleh kerajaan dan ajaklah kaum keluarga, rakan-rakan untuk bertemu dengan insan tersayang yang dirindui.

“Kelentang-Kelentong memberi gambaran keriuhan suasana tatkala berjumpa dan perasaan keterujaan dek kerana menahan rindu yang terlalu lama,” ujarnya.

Lagu rancak ala santai bergenre pop itu diberi kelainan yang istimewa dengan suntikan irama lagu-lagu rakyat yang sering kita dengar sewaktu kecil dan mudah diterima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Tambah Hael lagi, dia dan Ezra mengambil masa yang agak lama bagi pembikinan dan proses rakaman lagu Kelentang-Kelentong sebelum dilancarkan kepada pendengar.

“Ini juga merupakan gandingan ‘comeback’ di antara saya bersama Ezra dalam sebuah lagu setelah single Hati yang dilancarkan pada tahun lepas kerana sibuk dengan kerja dan projek masing-masing. Sebenarnya banyak lagi projek dan karya-karya saya bersama Ezra bakal dilancarkan pada tahun hadapan.

“Video muzik pada kali ini sangat santai dan ‘straightforward’, ia lebih kepada penceritaan tentang seseorang yang sedang bersiap untuk keluar bersiar-siar di sekitar Pulau Langkawi, kemudian bertemu dengan orang tersayang sambil berseronok menghabiskan waktu bersama,” jelasnya.

PKP yang berlangsung selama beberapa bulan di negara kita sedikit sebanyak membantutkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, terutamanya dari segi aktiviti pelancongan dan riadah, menurut Hael, dia berharap agar orang ramai kembali membantu menjana pendapatan negara.

“Harapan saya agar pendengar jangan terlalu serius tatkala mendengar lagu ini kerana ianya sangat santai dan bersifat ‘sing-along’. Yang paling penting pendengar terhibur dan menerima lagu ini seadanya.

“Saya juga berharap agar pendengar dapat memberi sokongan dan semangat kepada saya dan kesemua rakan komposer lain untuk terus-menerus berkarya.

“Akhir kata, jangan berhenti melawan virus ini. Namun, pada masa yang sama kita perlu menerima adanya virus ini dan belajar untuk beradaptasi dengan norma baharu. Jaga diri, jaga keluarga dan sentiasa patuhi SOP.”

————————

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam