SURAH al-Isra’, ayat 44, ada menceritakan bahawa “Langit yang tujuh dan Bumi serta sekalian makhluk yang ada di dalamnya, sentiasa mengucapkan tasbih kepada Allah. Tiada satu pun melainkan bertasbih dengan memuji–Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar lagi Maha Pengampun.”

Allah S.W.T telah menunjukkan kepada kita terlalu banyak bukti tentang kewujudanNya. Satu di antaranya ialah semua isi alam termasuk di langit dan di bumi bertasbih memuji kebesaran Allah. 

Para ulama mentafsirkan bertasbih kepada dua maksud. Pada manusia, bertasbih bermaksud solat sebagai tanda rasa cinta dan kasih kita kepada Allah. Manakala pada makhluk lain, tasbih itu bermaksud memuji penciptaNya.

Dalam hal ini, Nabi Muhammad s.a.w pernah ditanya oleh para sahabat, “Apakah ucapan tasbih itu?”

Baginda menjawab, “Subahanallah.” Maksudnya, Maha Suci Allah.

Lalu, siapakah sebenarnya yang bertasbih?

Terdapat ayat-ayat khusus menceritakan tentang para malaikat bertasbih. Semua malaikat dan penghuni setiap tujuh lapis langit kerjanya hanya bertasbih memuji Allah siang dan malam.

Siapakah pula yang bertasbih di Bumi?

“Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa?…” (Surah An Nur, ayat 41).

Ulama mentafsirkan bahawa apabila burung-burung terbang dan mengembangkan sayapnya, ketika itulah ia bertasbih memuji kebesaran Allah.

Begitu juga dengan kicauan dan siulan burung, ketika ombak menghempas pantai, bunyi deruman air terjun, suara-suara serangga, batu, pokok dan sekalian makhluk Bumi yang diciptakan olehNya. Sebab itulah, jika kita mendengarnya, hati akan merasa tenang dan tenteram.

Selain itu, ada hadis sahih menyatakan bahawasanya Abdullah bin Mas’ud pernah makan bersama Nabi Muhammad s.a.w dan mendengar makanan bertasbih.

Nabi juga pernah mendengar pasir memuji Allah ketika berjalan di gurun. Abi Dzar Al-Ghiffary turut menyatakan pernah mendengar kerikil di tangan baginda bertasbih dengan bunyi mendengung seperti suara lebah. Guruh dan petir juga memuji Allah seperti mana yang dijelaskan dalam surah Ar Ra’d, ayat 13.

Guruh dan petir juga bertasbih memuji kebesaran Allah.

Walaupun manusia tidak memahami bahasa semua makhluk ciptaan Allah itu, masing-masing sebenarnya berkomunikasi dengan cara sendiri. Malah semua makhluk itu mengetahui cara mengerjakan ibadat kepadaNya dan Allah maha mengetahui akan apa yang ‘mereka’ lakukan.

Buktinya, daripada kajian yang pernah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari University of Western Australia telah mendedahkan bahawa tumbuh-tumbuhan bukan sahaja bertindak balas kepada bunyi, tetapi juga mampu berkomunikasi antara satu sama lain.

Pendedahan itu dibuat selepas mereka mendengar bunyi-bunyi ‘klik’ yang datang dari akar anak pokok jagung dengan menggunakan pembesar suara.

Kajian dari University of Exeter, United Kingdom, turut mendapati bahawa tumbuh-tumbuhan berkomunikasi dengan cara mengeluarkan bahan kimia apabila dalam bahaya.

Contohnya, kubis akan membebaskan gas kimia, methyl jasmonate apabila permukaannya dipotong atau dicucuk sebagai memberi amaran kepada jirannya. Tanaman kubis lain yang menerima mesej itu akan segera melindungi diri dengan mengeluarkan bahan kimia bertoksik pada daun untuk menangkis pemangsa seperti ulat.

Satu pasukan pengkaji yang diketuai oleh ahli fizik Perancis, Philippe Marmottant dari University of Grenoble berjaya merakam bunyi pokok tercungap-cungap saat dahagakan air. Bunyi tersebut dikesan 100 kali lebih cepat daripada daya pendengaran telinga manusia. Namun, ia dapat diperlahankan untuk didengari semasa eksperimen makmal.

Selain tumbuhan, sains moden juga menemukan pelbagai bukti tentang kemampuan haiwan berkomunikasi dari sudut fizik. Antaranya ialah ikan.

Selama ini kita berandaian bahawa hanya ikan lumba-lumba memiliki kecerdasan dan boleh berkomunikasi. Namun, seorang ilmuwan dari University of Auckland, New Zealand, Dr. Shahriman Ghazali menemui bukti bahawa semua ikan sebenarnya boleh berbicara antara satu sama lain dengan cara mendengus.

Oleh kerana, sains sudah membuktikan bahawa ikan dan tumbuhan boleh mengeluarkan bunyi dan berkomunikasi, secara logiknya sudah tentu makhluk ciptaan Allah itu juga boleh bertasbih memuji–Nya.

Cuma, Allah memberi batasan kepada manusia untuk tidak memahami bahasa makhluk lain ciptaan Allah yang ada di langit dan di Bumi. Bayangkan jika kita boleh mendengar ‘suara’ mereka, mungkin kita akan terkejut, takut dan berasa terganggu dengannya.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislamFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare