Mohd Puad menziarahi ahli keluarga Noor Hayati Nabilah yang dilapor meninggal dunia selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.FOTO FACEBOOK DR PUAD ZARKASHI

LAPORAN bedah siasat ke atas Allahyarham Noor Hayati Nabila Abdullah, 14, yang didakwa meninggal dunia selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 masih belum lengkap.

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, bedah siasat ke atas pelajar SMK Kolam Air Batu Pahat itu dibuat pada 8 Oktober susulan kematian remaja berkenaan pada hari sama.

Katanya, pemeriksaan luaran ke atas jenazah berkeadaan baik manakala pemeriksaan dalaman ke atas jenazah mendapati terdapat ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung.

Menurutnya, kesemua sampel tisu dalam badan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Keputusan pemeriksaan lanjut dijangka boleh diperolehi antara 24 Oktober hingga 28 Oktober 2021.Pelbagai ujian darah telah dihantar ke makmal dan masih menunggu keputusan.

“Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan ujikaji masih belum diterima. Laporan bedah siasat lengkap adalah perlu bagi mendapatkan sebab kematian Allahyarham,” katanya hari ini.

Beliau mengulas mengenai gesaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menerusi hantaran Facebook miliknya semalam yang menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan keputusan bedah siasat kematian Allahyarham dengan telus dan segera.

Dr Aman berkata, Allahyarham dibawa oleh pegawai penyiasat polis, Balai Polis Batu Pahat ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada 8 Oktober atas sebab kematian mengejut.

Ujarnya, pihak hospital telah menerima permohonan bedah siasat daripada polis ke atas jenazah seorang remaja Melayu perempuan yang ditemui meninggal dunia oleh ibunya di ruang tamu rumah.

“Temubual lanjut oleh pegawai perubatan unit perubatan forensik HSNI bersama waris mendapati Allahyarham tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan.

“Pada 3 Oktober, Noor Hayati Nabila telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 berjenama Comirnaty Pfizer.

“Status kesihatan Allahyarham pasca vaksin dalam keadaan baik, tidak demam, selesema, lemah sendi atau susah bernafas. Allahyarham boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa,” katanya.