Cabaran Malaysia di Terbuka Denmark berakhir malam ini, selepas wakil terakhir negara pasangan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tewas di separuh akhir.

Pasangan nombor ke-26 dunia itu, tewas kepada pasangan tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 11-21, 21-19, 18-21 pada perlawanan berlangsung hampir sejam di Odense Sport Park, menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwf.tournamentsoftware.com.

Perlawanan akhir pada Ahad, akan menyaksikan pasangan nombor 11 dunia dari Denmark itu akan bertemu pasangan nombor 15 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, yang menewaskan pasangan Jerman Mark Lamsfuss-Marvin Seidel 20-22, 21-18, 21-16 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sze Fei-Nur Izzuddin layak ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan nombor tujuh dunia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia 21-18, 21-17, pada Jumaat.

Baca artikel berkaitan: Zii Jia tumpas pada Axelsen, tinggal beregu lelaki di semi final

Sementara itu, pemain nombor satu perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pula terkeluar selepas tewas kepada juara Olimpik Viktor Axelsen 21-19, 21-19, pada peringkat separuh akhir.

Pasangan beregu campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula tewas 21-19, 12-21 dan 14-21 pada peringkat suku akhir, kepada pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram