“TERUS terang saya beritahu, saya teruja sangat bila membaca DCCK minggu lepas yang berjudul `Mahkamah Syariah pembela bekas suami?’ sebab nasib kami sama. Kami semua ibu-ibu tunggal sama-sama menghadapi masalah yang lebih kurang sama iaitu umpama kena panggang bukan saja oleh bekas suami tetapi juga dengan Mahkamah Syariah.
“Kami dah ikut pelbagai perintah yang dikenakan dan dijatuhkan ke atas kami, tetapi kami tetap kena panggang hingga garing supaya orang lain senang melapah dan mengoyak isi dan kulit kami. Itulah contoh nasib kami ibu tunggal bila naik Mahkamah Syariah.
“Jadi apabila saya baca luahan rasa Puan Hanim dalam DCCK minggu lepas membuat saya dan beberapa orang ibu-ibu tunggal yang senasib berbincang lebih mendalam kerana kami terpanggil untuk mencurahkan rasa hati yang terluka selama ini. Kami ingin berkongsi rasa dan pengalaman perit yang kami lalui semasa berurusan dengan Mahkamah Syariah.
“Pada kami zaman PKP banyak membuat bekas-bekas suami kegirangan kerana mereka boleh hilangkan diri dan tak perlu berurusan dengan mahkamah. Boleh hidup bebas tanpa beri sesen nafkah pun pada anak-anak yang sememangnya menjadi tanggungjawab mereka di dunia dan akan ditanya di akhirat kelak.
“Saya yakin, bukan kami bertiga, berempat ibu tunggal ini sahaja yang menghadapi masalah dengan Mahkamah Syariah seperti yang dilalui oleh Puan Hanim, tetapi ramai lagi, dan masalah mereka lebih teruk `dibenamkan’ begitu sahaja tanpa pertimbangan.’’ Itu cerita Khaty ketika menghubungi penulis yang meminta penulis paparkan e-mel yang dihantarkannya.
“Rasanya elok saya ceritakan masalah saya dulu. Sebenarnya semua urusan mahkamah seperti hadhanah, nafkah dan harta sepencarian sudah saya failkan dan saya telah turun naik mahkamah untuk kesekian kalinya hinggalah tahun 2019 saya failkan Notis Rayuan ke atas keputusan Mutaah yang saya terima dari Mahkamah Tinggi Syariah.
“Rayuan ini saya kemukakan kerana saya tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah memerintahkan bekas suami membayar mut’ah kepada saya sejumlah Ringgit Malaysia bersamaan dengan 30 Dirham.
“Allahu Akbar! Ada kiraan Dirham pulak! Tak pernah saya dengar daripada kawan-kawan saya yang Mahkamah Syariah jatuhkan hukum bayaran mut’ah mengikut kiraan negeri Arab pulak. Kerana terkejut dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah saya cuma mampu terkebil-kebil dan terpaksa berdiam diri.

“Nilai Dirham tersebut itu pula dinilai bersamaan dengan Ringgit Malaysia pada tarikh perceraian berlaku. Saya dah bercerai lebih daripada 7 tahun. Tak ke pening nak memikirkannya sebab saya bukan lulusan sarjana perakaunan.
“Saya tambah terkejut lagi apabila Mahkamah Syariah langsung tidak buat sebarang nilai tambah kepada amaun muta’ah 30 Dirham yang diputuskan itu, Mahkamah cuma jatuhkan hukum yang saya diluluskan mut’ah sebanyak 30 Dirham dikira pada tarikh perceraian. Itu sahaja. Pelik memang pelik, tetapi itulah hukuman yang diperintahkan diberikan kepada saya.
“Lebih memeningkan kepala saya ialah perintah yang dimeterai itu langsung tidak ada sebarang perintah yang jelas, tegas dan terperinci berhubung dengan kaedah perlaksanaan bayaran mut’ah tersebut. Mahkamah cuma jatuhkan hukuman beri saya 30 Dirham. Itu saja. Bila bekas suami patut bayar, macam mana kaedah patut bayar tidak pulak disebutkan.
‘Walaupun saya ada membuat permohonan semasa sesi soal balas serta saya juga ada nyatakan didalam hujahan saya, bahawa saya mahukan penjelasan jika tuntutan amaun mut’ah saya tidak dipersetujui dan mohon nyatakan dengan jelas kaedah pembayaran tersebut, tetapi ianya langsung tidak dijawab oleh Mahkamah Syariah.
“Ini membuatkan saya lebih pening. Nak kira macam mana dan banyak mana 30 Dirham tanpa nilai tambah itu adakah memadai dengan pengorbanan saya selaku isteri dan ibu kepada anak anak kami. Apa yang saya pernah dengar dalam filem-filem arwah P. Ramlee ialah beribu-ribu Dirham .
“Ketiadaan perintah yang tegas dan jelas itu menyebabkan keputusan mahkamah akan tergantung dan hanya terpakai di atas kertas sahaja. Sebaliknya keputusan kurang jelas ini juga menimbulkan lebih banyak kerenah birokrasi dalam melaksanakan perintah oleh pihak Mahkamah Syariah sendiri.
“Pada saya mahkamah sepatutnya boleh menilai karakter dan sikap bekas suami. Jika bekas suami ialah seorang yang gentleman, faham hal nikah cerai dan bertanggung jawab, sudah tentu-tentu saya tidak lah turun naik mahkamah bertahun-tahun semata-mata untuk mendapatkan hak saya dan anak-anak.
“Secara tidak langsung keputusan kurang jelas dan tergantung ini menyebabkan bertambah satu lagi hiasan frame dalam rumah saya. Ini kerana setiap kali perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah saya akan buat frame dan jadikan hiasan KOLEKSI perintah penghakiman yang telah saya terima selama bawa kes tuntutan-tuntutan saya ke mahkamah.
“Untuk pengetahuan pembaca semua, kes tuntutan mut’ah saya sahaja mengambil masa dua tahun untuk selesai. Tiba-tiba apabila saya dapat keputusan dari Mahkamah Syariah ianya amatlah mengecewakan hati.
“Saya ingin tahu susah sangatkah Mahkamah Syariah tolong bantu menyatakan kaedah pembayaran serta tempoh masa untuk bekas suami melaksanakan pembayaran mut’ah tersebut mengikut jadual. Saya harapkan jika keputusan dikeluarkan, lengkapkanlah dengan jelas untuk memudahkan semua pihak terutama saya yang menuntut.
“Saya tidak tahu dan tidak faham di sudut manakah yang mahkamah amat bersimpati dan amat ehsan sangat pada bekas suami yang kerap tidak hadir ke Mahkamah Syariah tanpa sebarang alasan yang munasabah sampai tak tergamak nak mengeluarkan satu perintah yang tegas dan jelas kepada beliau.
“Dalam kitab pun ada menyatakan yang mut’ah itu hak isteri yang diceraikan dan dia berhutang dengan saya selagi mut’ah tidak dibayar apatah lagi nafkah untuk anak-anak yang menjadi tanggungjawabnya.

“Akibat daripada perintah Mahkamah Syariah yang tidak tegas dalam melaksanakan tugas dan perintah mereka inilah maka banyak bekas-bekas suami yang langsung tidak ambil pusing apa lagi berasa takut dengan perintah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah, seperti yang dilakukan oleh Mahkamah Sivil.
“Saya bukan suka membandingkan Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, tetapi dalam keadaan saya yang amat tertekan ini saya terpaksa membuat perbandingan, sebab bekas suami memang tak pernah takut dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.
“Berbalik kepada hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah yang tidak jelas ini menyebabkan saya jadi seperti peminta sedekah dalam mendapatkan hak saya, hinggalah kini masih tidak selesai dan sudah berlangsung selama 3 tahun lebih.
“Apa yang jadi lebih teruk lagi akibat daripada hukuman tidak jelas ini, bekas suami telah mencabar saya untuk memfailkan rayuan jika saya tetap mahu dia bayar mut’ah. Maka kerana itu pada tahun 2019 saya telah memfailkan satu notis rayuan. Di sinilah bermulanya satu lagi episod turun naik mahkamah yang entah ke berapa kalinya.
“Untuk memfailkan notis rayuan bukan satu kerja mudah kerana melibatkan perbelanjaan wang ringgit yang banyak dan masa yang amat panjang. Jadi untuk tujuan itu saya terpaksa mencari duit dan berhutang untuk memastikan prosiding notis rayuan ini dapat berjalan lancar.
“Dalam kes Rayuan Mutaah ini saya tidak menggunakan peguam berbayar. Bekas suami pula menggunakan khidmat dua (2) orang peguam persendirian untuk membela dirinya .
“Oleh kerana saya tidak berduit ini saya hanya mampu wakili diri saya sendiri seperti yang telah diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal Seksyen 120: Kehadiran serta Seksyen 143: Rekod Rayuan Jika Perayu Tidak Diwakili Atau Merayu Sebagai Orang Miskin.
“Saya amat faham dalam hal pemfailan kes rayuan ini. Pertama, perayu tidak boleh buat silap sedikit pun. Saya patuhi dan akur segala jangka masa dan kehendak yang ditetapkan seperti termaktub dan tersenarai dalam Senarai Semak yang dikeluarkan oleh mahkamah.
“Ini termasuklan penyediaan dan serahan kepada responden dan juga mahkamah akan dokumen-dokumen seperti Notis Rayuan, Rekod Rayuan dan hujahan hujahan berkaitan.
“Untuk makluman pembaca, khususnya ibu-ibu tunggal, bagi kes saya, mahkamah mengenakan bayaran RM 908.00 (Ringgit Malaysia Sembilan Ratus Lapan Sahaja) sebagai kos penyediaan untuk satu (1) salinan Rekod Rayuan tersebut. Dan saya pula perlu menyediakan dan mencetak semula 6 salinan Rekod Rayuan yang sempurna untuk difailkan pada tarikh yang telah ditetapkan. Jadi jumlahnya pembaca kiralah sendiri.
“Jumlah sebesar itu belum lagi melibatkan kos kos penyediaan hujahan dan ikatan otoriti serta dokumen-dokumen lain yang sepatutnya saya sediakan bersama.

“Malangnya pada Jun 2020 iaitu setelah setahun kes rayuan berjalan lancar, di dewan bicara untuk sebutan kali pertama dihadapan Panel Hakim Mahkamah Rayuan saya telah diminta untuk memfailkan Notis Permohonan Kebenaran Untuk Melanjutkan Tempoh Masa Penyerahan Dokumen Berkaitan Rayuan.
“Saya pun tidak faham mengapa setelah hampir setahun lamanya, tiada masalah tetapi tiba-tiba bila saya berada di dalam Dewan Bicara, baru hakim bercakap cara pemfailan yang saya buat itu tidak betul? Kenapa sekarang baru nak beritahu selepas setahun saya failkan segala dokumen mahkamah?
“Untuk pengetahuan pembaca, sebelum ini rekod/dokumen saya telah disemak dan diakui dan diterima tanpa sebarang bantahan daripada pihak Pendaftar Mahkamah dan juga dua (2) orang barisan peguam yang mewakili bekas suami saya.
“Hukuman yang dijatuhkan oleh panel hakim ketika itu benar benar membuat saya marah dan berasa amat kecewa. Saya merasakan seolah-olah saya ini sengaja dianaiyai. Sengaja ingin menyusahkan saya.
“Menghormati perintah mahkamah meskipun saya tidak setuju dan keliru mengapa saya diperintahkan sebegitu rupa? Namun saya tetap akur kerana kuasa di tangan mereka. Selang tujuh (7) hari daripada perintah tersebut, demi mempertahankan hak dan maruah, saya telah memfailkan Notis Permohonan Kebenaran Untuk Melanjutkan Tempoh Masa Penyerahan Dokumen Berkaitan Rayuan berserta Afidavit. Untuk melaksanakan tujuan itu, saya telah dikenakan caj fi sebanyak RM104.00 lagi.
“Bayangkanlah berapa banyak lagi wang ringgit serta masa yang terbuang untuk melaksanakan perkara yang saya rasa tidak wajar ini.
“Ekoran perintah baharu ini, jika sebelum ini saya telah meminjam wang daripada keluarga, sekarang saya terpaksa pula menggadaikan barang kemas anak-anak dan membuat pinjaman peribadi dengan bank untuk menampung kos pemfailan Notis Permohonan Kebenaran Untuk Melanjutkan Tempoh Masa Penyerahan Dokumen Berkaitan Rayuan. Bayangkan betapa teruknya saya terpaksa menyediakan semua benda-benda tersebut.
“Prosiding kes ini mengambil masa lapan bulan untuk selesai. Alhamdulillah akhirnya mahkamah bersetuju yang saya tidak ada keperluan di sisi undang-undang untuk membuat permohonan kebenaran melanjutkan tempoh penyerahan rekod rayuan tersebut.
“Isunya di sini selain daripada kes Rayuan Mut’ah saya yang tak pasal-pasal tertangguh, saya pula terpaksa keluarkan belanja yang banyak untuk membantah arahan Permohonan Kebenaran Untuk Melanjutkan Tempoh Masa tersebut !.
“Bersandarkan alasan penghakiman, adalah jelas sekali mahkamah mengakui yang kekhilafan ini bukan berpunca daripada saya dan saya juga sejak awal-awal lagi telah memohon ganti rugi daripada mahkamah dan juga bekas suami akan kekecohan serta kekhilafan itu.

“Saya berhutang sana sini, malu lagi, emosi down, kecewa yang amat sangat dengan kejadian ini, tetapi mahkamah mendakwa ia tidak ada peruntukan untuk perkara tersebut iaitu untuk membuat bayaran ganti rugi yang telah saya lalui.
“Sebaliknya saya diminta untuk memaklumkan kepada Panel Mahkamah Rayuan akan perkara ini (tuntutan ganti rugi atas pemfailan Permohonan Kebenaran Untuk Melanjutkan Tempoh Masa Penyerahan Dokumen Berkaitan Rayuan).
“Malangnya apabila saya terima dan teliti Alasan Penghakiman itu, perkara mahkamah tersalah arah perintah ini tidak ada dicatatkan langsung. Dari sini saya dah boleh baca yang mahkamah tidak akan membayar tuntutan ganti rugi tersebut.
“Mahkamah Rayuan juga memutuskan untuk tidak membayar ganti rugi. Permohonan saya ditolak mentah-mentah seperti bola sedangkan kekhilafan itu jelas bukan berpunca daripada saya tetapi berpunca daripada mahkamah sendiri.
“Alasan oleh Mahkamah Rayuan tidak mahu membuat bayaran ganti rugi saya adalah kerana tidak terdapatnya peruntukan undang-undang yang membenarkan tuntutan kos tersebut diawardkan. Justeru, mahkamah tidak boleh dikenakan kos seperti yang dinyatakan.
“Salahkah saya menuntut ganti rugi atas kekhilafan yang bukan berpunca daripada saya? Yang lebih memeranjatkan ialah bila saya teliti Alasan Penghakiman Mahkamah Rayuan saya pun tak tau bila masa saya ada diminta untuk mengemukakan hujah berkaitan autori dari segi hukum syarak dan perundangan atas permohonan ini.
“Meskipun tuntutan ganti rugi yang tak seberapa itu dipandang sepi oleh mahkamah tetapi permohonan saya untuk menambahbaik nilai Mut’ah diluluskan pada pertengahan 2021.
“Apa yang menghairankan saya ialah keputusan Mahkamah Rayuan ini tidak ada jauh bezanya dengan keputusan terdahulu. Mahkamah Rayuan tetap juga tidak menyatakan kaedah perlaksanaan bayaran mut’ah khususnya tempoh masa yang patut dibayar mut’ah tersebut meskipun saya ada mohon ketika itu untuk ditetapkan tempoh pembayaran.
“Apa yang peliknya saya pula disarankan untuk memfailkan Perlaksanaan Perintah selepas terima keputusan penghakiman. Saya pun tak faham mengapa mahkamah nak tambah kerja. Bukankah lebih senang jika dapat keluarkan satu perintah yang lengkap dan jelas.
“Mungkin Mahkamah ada banyak masa terluang dan kes tertunggak tak banyak kut di sana kerana musim PKP. Tapi saya dah tak ada duit, dari zaman bekerja hingga dah pencen pun takkan lah saya nak ulang alik ke mahkamah. Bila nak sudahnya ni?
“Bayangkanlah jika saya tidak bangkit membantah dan berusaha meminjam sana-sini untuk failkan Permohonan Kebenaran Untuk Melanjutkan Tempoh Masa seperti yang diarahkan, maka sia-sia sahaja kes rayuan mut’ah saya kerana ianya akan digugurkan begitu sahaja.

“Keputusannya akan berkokoklah bekas suami ke sana sini kerana tak perlu buat bayaran mutaah dan dia akan bersorak dia menang konon.
“Tetapi fikirkan pula bagaimana dengan nasib Ibu-ibu tunggal yang menghadapi masalah sama seperti saya tetapi mereka terpaksa mengaku kalah sebelum berjuang sebab tidak ada duit untuk teruskan kes ke Mahkamah Syariah untuk teruskan bantahan?
“Pendek kata memang betul kata Puan Hanim bahawa mahkamah memang amat bersimpati dan amat memahami masalah bekas suami, bukannya masalah ibu-ibu tunggal yang terpaksa bekerja berhempas pulas mencari rezeki untuk beri makan pakai dan pelajaran kepada anak-anak. Bukannya tanggung jawab bekas suami agaknya dalam hal beri nafkah kepada anak-anak.
“Sepatah kata ibu-ibu tunggal agaknya Mahkamah Syariah beranggapan tugas beri nafkah anak-anak bukan tanggung jawab bekas suami tetapi bekas isteri, sebab anak-anak tidak akan mati jika tak dapat nafkah kerana ULAT dalam batu pun boleh hidup.
“Untuk kes saya dan rakan ibu-ibu tunggal yang lain, kami ini ke Mahkamah Rendah sudah, Mahkamah Tinggi sudah, Mahkamah Rayuan pun sudah. Tetapi keputusan tetap tertangguh tahun demi tahun, hak dan nafkah tetap gagal diberi. Jadi selepas ini adakah kami perlu membuat rayuan kepada Ketua Agama pula? Tolonglah fikirkan masalah kami ibu ibu tunggal,’’ demikian luahan hati Khaty mengakhiri masalahnya yang panjang lebar.
Oleh: MAIMUNAH YUSOF
—————–
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram