GAMBAR HIASAN

Satu soalan yang sangat menghantui kini ialah kenapa orang Melayu semakin ramai terlibat dengan perbuatan rasuah, tidak amanah dan suka menyeleweng?

Melayu di sini bukan penjawat awam semata-mata tetapi keseluruhan orang Melayu. Melayu dari kampung hingga ke bandar, Melayu dari jawatan rendah hingga pegawai tinggi, Melayu dari teratak hingga ke mahligai, Melayu dari Encik hingga ke Tan Sri dan ramai lagi jenis Melayunya.

Selepas tanah air merdeka, kerajaan berusaha membangunkan rakyat dan negara. Kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit untuk memajukan sektor ekonomi.
Orang Melayu masa itu ramai bertani, berkebun, bekerja di ladang, berternak dan menangkap ikan. Orang Melayu rata-ratanya miskin, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Kerajaan berbelanja berjuta ringgit untuk meningkatkan taraf hidup mereka supaya tidak hidup berterusan susah dan miskin. Kerajaan merancang pelbagai program untuk memperbaiki taraf pekerjaan tradisi mereka.

Kerajaan memberi pelbagai subsidi seperti benih dan baja tanaman untuk petani dan peladang, minyak diesel dan petrol untuk enjin bot nelayan, lembu induk, kambing untuk penternak dan pelbagai lagi.

Tetapi apa yang berlaku? Ada dalam kalangan mereka ini menjual benih dan baja dan bukan menggunakan sendiri bagi menjayakan tanamannya. Ada yang menjual minyak diesel atau petrol di tengah laut dan bukan pergi menangkap ikan.

Ini semata-mata untuk mendapat duit mudah dan segera daripada berjemur tengah panas dan menunggu lama untuk mendapat hasil bercucuk tanam atau berhempas pulas serta dilambung ombak di laut.

Pertanyaan di kepala ialah kenapa dan bagaimana ini boleh berlaku? Adakah petani atau nelayan yang terlibat itu terdesak kerana tekanan kemiskinan hidup? Atau mereka dihasut oleh pihak yang mencari keuntungan?

Amat sukar untuk mencari jawapannya apabila mendapati yang melakukan penyelewengan ini adalah orang yang hidup biasa di kampung. Orang dilihat rajin ke surau dan masjid. Orang yang tidak boros dan makan minumnya mencukupi. Tetapi menyeleweng?!

Baca artikel berkaitan: Orang Melayu tidak perlu banyak parti politik – Mahdzir

Mungkin puncanya apabila hasil rasuah, pecah amanah atau penyelewengan ini dianggap sebagai rezeki? Jika demikian anggapannya maka kesalahan-kesalahan ini bukan lagi satu dosa pada mereka.

Maka perbuatan-perbuatan buruk itu akan bertambah berleluasa, diterima dan menjadi sebati dalam masyarakat. Apatah lagi jika rasuah itu diinstitusikan (institutionalised) atau menjadi amalan biasa.

Jika tadi kita melihat mereka yang di sektor pertanian. Sekarang kita melihat mereka di pejabat pula. Di pejabat ada kakitangan berjawatan rendah dan bergaji kecil dan ada berjawatan tinggi dan bergaji besar.

Pada yang berjawatan rendah kehidupan seharian mereka mungkin cukup-cukup atau sempit kerana kos hidup yang mahal sekarang. Tetapi dengan jawatan rendah itu mereka ada kedudukan dan kuasa.

Kalau mereka ini yang mengatur urusan permohonan dan kelulusan segala macam lesen, permit, cukai, dokumen rasmi dan urusan tanah, mereka adalah orang yang sangat penting dan sentiasa dicari-cari orang atau ejen-ejen perkhidmatan untuk berurusan.
Kerana tugasan mereka itu penting, mereka akan mudah terdedah pada rasuah yang mulanya ‘duit kopi’ atau ‘duit rokok’. Dan kerana desakan hidup, mereka sanggup terima sogokan untuk lakukan apa saja.

Lama kelamaan mereka tergoda pula dengan tawaran habuan lebih besar atau mata benda mahal daripada pihak yang hendak mendapatkan perkhidmatan kerajaan melalui jalan belakang atau cepat. Mereka pun hendak hidup selesa seperti orang lain.

Akhirnya, sogokan ini akan menjadi habuan bulanan. Banyak sekali terbongkar kes rasuah penjawat awam khususnya anggota beruniform menerima ‘gaji bulanan’ sebagai upah ‘menutup mata’ atau tidak mengambil tindakan terhadap kes-kes penyelewengan.
Mereka ini mungkin melihat tidak ada salah lagi menerima rasuah kerana orang atas mereka pun sama. Sehingga keluar jolokan kata “Malu Apa BossKu” apabila kena tangkap!

Bagaimana pula dengan yang berjawatan tinggi dan bergaji besar? Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia saban tahun menunjukkan ada sahaja pegawai pengurusan tertinggi bertaraf JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) dan pegawai perngurusan dan profesional ditangkap kerana rasuah.

Ada bertanya kenapa mereka yang berkedudukan tinggi pun mengambil rasuah? Agak sukar untuk mempercayai mereka mengambil rasuah atas kesempitan hidup kerana gaji pegawai JUSA berbelas hingga ada berpuluh ribu ringgit sebulan.

Elaun pengerusi atau gaji ketua-ketua pegawai eksekutif swasta pun lebih besar daripada mereka yang berkhidmat dengan kerajaan. Tetapi ramai daripada mereka pun turut dicekup oleh SPRM kerana rasuah atau menyeleweng dalam syarikat mereka.

Adakah mereka ini sanggup disogok kerana hendak hidup lebih senang dan mewah? Atau sudah terbiasa bercampur dengan golongan elit, kaya dan terkenal maka status mewah ini perlu dijaga.

Mungkin pegawai-pegawai tinggi ini sanggup mangambil sogokan untuk buat bekalan apabila bersara nanti. Tekanan memikirkan nasib hidup selepas bersara mungkin mendesak mereka menyalahguna kuasa dan kedudukan.

Mereka mungkin telah melihat rakan-rakan yang dulu berjawatan tinggi yang sudah bersara kini hidup ala kadar dan tidak lagi hebat seperti dahulu. Jalan ke kedai dan bank sudah bersendirian dan kereta tiada lagi orang memandu.

Mereka bimbang setelah bersara nanti pendapatan pencen adalah sedikit daripada gaji yang biasa diterima. Maka akan susah nanti hendak mengekalkan gaya hidup seperti sebelum bersara.

Kecualilah mereka dilantik dalam syarikat-syarikat kerajaan sebagai pengerusi dan pengarah. Adalah sedikit rezeki.

Tauke-tauke pula menjanjikan yang kehidupan mereka selepas bersara akan lebih baik jika tender atau kontrak diberikan kepada syarikatnya? Malah akan ditawarkan jawatan dalam syarikat bila bersara nanti.

Tetapi ada juga orang yang jenis tamak. Seberapa banyak mana sogokan yang diterimanya tidak pernah mencukupi. Inilah mungkin kes-kes yang terjumpa wang tunai berkepuk-kepuk bernilai puluhan dan ratusan juta ringgit di dalam rumah atau kondominium. Bagi mereka ini mungkin ‘Cash is King’!

Ini belum lagi membicarakan hal-hal orang politik yang banyak kes terbongkar kerana menyalahgunakan kuasa, kedudukan dan rasuah untuk menghimpunkan kekayaan untuk diri sendiri, keluarga, rakan-rakan dan untuk tujuan berpolitik.

Rakyat melihat baru saja menjadi Ahli Berhormat, harta kekayaan mereka berjuta-juta ringgit, ada mahligai, kereta mewah bersusun-susun di halaman, tanah berhektar-hektar dan jam tangan pun berharga ratusan ribu ringgit. Memang semua ini tidak sepadan dengan gaji atau elaun mereka.

Terdetik juga dalam fikiran, adakah mereka yang mengejar dan menghimpun kekayaan secara salah ini sudah tidak takut lagi kepada Allah maha esa? Harta kekayaan adalah lebih utama daripada takut berdosa dan ditimpa bala!

Memanglah benar jika ada pihak yang beranggapan perbuatan rasuah atau penyelewengan di negara kita sudah sampai ke peringkat yang kronik, yang sukar diubati lagi.

Perbuatan ini jika tidak dihentikan boleh membawa kepada negara kita tergadai dan rosak binasa!

Tepatlah sekali apabila Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sendiri, dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul pada 18 Oktober lalu, baginda menyatakan kebimbangan mengenai berleluasanya rasuah di negara kita.

“Kebelakangan ini, dilaporkan, begitu banyak berlakunya rasuah. Berdasarkan berita-berita yang dilaporkan, perlakuan rasuah, kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah berlaku pada skala yang besar. Lebih membimbangkan, apabila turut dilaporkan, rasuah dilakukan secara lebih berani – lebih terbuka.” Itu titah baginda.

Sultan Nazrin turut menegur para ulama dan umara bahawa mereka tidak boleh lagi “memejamkan mata, memekakkan telinga dan membisu lidah terhadap perbuatan rasuah”.

Mereka, para ulama dan pemimpin negara, seru Sultan Nazrin, wajib berganding usaha, berganding tenaga berjihad menghapuskan rasuah!

Datuk Zakaria A. Wahab merupakan bekas Ketua Pengarang Bernama 2014-2019. Mula menyertai Bernama sebagai wartawan pada 1980. Berkhidmat dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 1992 hingga 2003 sebagai Penolong Setiausaha Akhbar dan kemudian Setiausaha Akhbar.
Pernah melalui pengalaman sebagai Ketua Biro Bernama Pulau Pinang, Sarawak dan Koresponden Singapura selain sebagai Pengarah Eksekutif anak syarikat teknologi maklumat Bernama Systems and Solutions Advisor (Bessar) yang kini dipanggil UXERA.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram